TMJ minat ambil alih Harimau Malaya - Utusan Malaysia

TMJ minat ambil alih Harimau Malaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemerosotan prestasi skuad Harimau Malaya ketika mengharungi baki kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) nyata membimbangkan seluruh peminat bola sepak negara.

Situasi itu turut mendapat perhatian pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang bersedia menawarkan diri untuk mengendalikan dan menguruskan skuad kebangsaan dalam saingan antarabangsa selepas ini.

“Kepada Presiden FAM (Datuk Hamidin Mohd Amin), izinkan saya mengendalikan pemain dalam pasukan kebangsaan. Saya akan memberi mereka kemudahan latihan dan jurulatih terbaik.

“Saya tidak dapat menjanjikan kejayaan segera tetapi saya dapat memberi jaminan pasukan ini akan meningkat,” tulisnya di laman Instagram Story miliknya, hari ini.

Tunku Ismail bersedia mengambil tanggungjawab itu selepas kekalahan demi kekalahan dialami oleh skuad kendalian Tan Cheng Hoe dalam empat aksi antarabangsa yang dilalui setakat ini selepas berehat selama 18 bulan.

Daripada empat aksi itu, Malaysia tewas dua kali dalam aksi persahabatan di tangan Kuwait dan Bahrain dengan keputusan 4-1 serta 2-0.

Prestasi hambar itu berterusan dalam dua aksi kelayakan apabila tumbang 4-0 kepada UAE dan kekalahan terbaharu kepada Vietnam 1-2 pada Jumaat lalu.

TUNKU ISMAIL SULTAN IBRAHIM

Tunku Mahkota Johor (TMJ) berkata, terdapat beberapa faktor yang mungkin menyebabkan kemerosotan mendadak skuad Harimau Malaya walaupun rata-rata pemerhati bola sepak negara termasuk jurulatih sendiri mengakui, ini merupakan barisan terbaik yang dimiliki ketika ini.

Di atas kertas, kehadiran tiga tonggak naturalisasi iaitu Guilherme de Paula, Liridon Krasniqi dan Mohamadou Sumareh serta penyertaan pertahanan kacukan Belgium-Malaysia, Dion Cools dijangkakan mampu menambahkan kekuatan skuad negara namun sebaliknya berlaku.

Beliau menegaskan akan melakukan perkara sama seperti dilaksanakan di JDT sekiranya diberikan tanggungjawab untuk menguruskan pasukan negara.

“Anda ingin tahu apakah perkara pertama yang saya buat di JDT? Saya mengawal akses atau pasukan.

“Dari media, wartawan, syarikat, dan juga pemain menggunakan media sosial,” tegas bekas Presiden FAM itu.

Tambah TMJ, beliau akan memastikan kriteria pengambilan pemain naturalisasi diperketatkan bagi membolehkan hanya mereka yang terbaik sahaja diberikan kelulusan menyarung jersi Malaysia.

“Ketika ini menjalankan tugas negara bukan lagi misi atau tugas besar bagi sesetengah pemain. Ia seperti percutian musim panas, sistem mesti berubah.

“Lepas ini naturalisasi jangan sebarang. Akan dikendalikan dan dianalisis oleh pasukan teknikal pasukan kebangsaan. Sama ada pemain sesuai dengan gaya permainan kita,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya