‘Tawaran’ TMJ dapat perhatian FAM - Utusan Malaysia

‘Tawaran’ TMJ dapat perhatian FAM

TUNKU ISMAIL SULTAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menolak mentah-mentah cadangan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, sebaliknya akan dibawa ke meja bulat bagi memperhalusi perkara tersebut.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, beliau mengambil maklum berhubung tawaran Tunku Ismail atau Tunku Mahkota Johor (TMJ) untuk mengendalikan dan menguruskan skuad Harimau Malaya dalam saingan antarabangsa selepas ini.

“Saya menjunjung kasih kepada TMJ dan mengambil maklum tentang cadangan yang telah dikemukakan baginda selaku mantan Presiden FAM berhubung skuad kebangsaan, tempoh hari.

“Bagaimanapun, perkara tersebut perlu diperhalusi sebaiknya kerana FAM sebagai badan induk bola sepak negara mempunyai tatacara, prosedur, peraturan serta mesyuarat tertentu sebelum membuat sesuatu keputusan atau ketetapan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

HAMIDIN MOHD. AMIN

Berhubung isu pemain naturalisasi, Hamidin berkata, beliau telah mengarahkan sekretariat FAM untuk membawa perkara ini ke Jawatankuasa Program Naturalisasi bersama Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan serta Pengarah Teknikal, Datuk Ong Kim Swee bagi mengkaji keberkesanan program tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata, Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan akan menunggu laporan penuh post-mortem daripada pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dan barisan kejurulatihannya selepas berakhir tempoh kuarantin pasukan.

“Mereka akan memberi laporan berhubung persembahan Harimau Malaya sepanjang Pusingan 1 dan Pusingan 2, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 serta persediaan awal pasukan bagi menghadapi pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023 yang bakal bermula Februari 2022 untuk dibincangkan dan diperhalusi dalam mesyuarat jawatankuasa tersebut yang akan datang.

“Kesemua perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa-jawatankuasa yang terlibat ini kemudiannya akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk dimuktamadkan,” jelas Hamidin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.