LONDON: Impian legenda tenis Amerika Syarikat (AS), Serena Williams untuk merangkul kejuaraan Wimbledon buat kali kelapan dan menyamai rekod 24 gelaran Grand Slam milik Margaret Court berakhir dengan tangisan hari ini.
Pemain berusia 39 tahun itu sedang mendahului 3-1 di set pertama ketika berdepan Aliaksandra Sasnovich dari Belarus sebelum kakinya terkehel dan dia terpaksa mendapatkan rawatan.
Serena bagaimanapun kembali ke gelanggang untuk meneruskan permainan, namun menghentikan perlawanan pada kedudukan 3-3 sebelum meninggalkan gelanggang utama bersama tangisan.
Ini kali pertama Serena terkeluar pada pusingan pembukaan di Wimbledon, dan ketiadaannya mengurangkan seri kejohanan tenis tertua dunia itu selepas juara 2019, Simona Halep dan bintang Jepun, Naomi Osaka tidak mengambil bahagian.

Sementara itu dalam saingan perseorangan lelaki, juara lapan kali, Roger Federer mengakui, dia bertuah lawannya, Adrian Mannarino menarik diri ketika permainan sedang berlangsung sengit dan terikat 6-4, 6-7 (3/7), 3-6, 6-2.
Pemain Perancis, Mannarino terjatuh di set keempat dan meskipun telah mendapatkan rawatan, dia sukar untuk bergerak serta menahan kesakitan.
“Dia pemain yang lebih baik dan boleh memenangi perlawanan ini, saya sangat bernasib baik,” kata Federer. – AGENSI