Harimau Malaya sedia beri tentangan kepada Thailand - Utusan Malaysia

Harimau Malaya sedia beri tentangan kepada Thailand

MAMPU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Moral pemain skuad Harimau Malaya masih berada dalam keadaan terbaik untuk menentang Thailand pada Rabu walaupun tewas ketika menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam dalam kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023.

Momentum itu dikatakan perlu dikekalkan menjelang perlawanan menentang skuad Gajah Perang, walaupun tanpa pemain naturalisasi, La’Vere Corbin-Ong akibat digantung satu perlawanan selepas dilayangkan dua kad kuning.

Menurut pemain pertahanan skuad kebangsaan, Muhammad Syahmi Safari, pertembungan di Stadium Al Maktoum di Dubai, UAE itu menyaksikan nasib tidak menyebelahi pasukan negara yang sudahpun bermain dengan baik.

“Kita kena lebih berdisiplin dengan taktikal permainan jurulatih dan juga permainan individu, sebab apa yang kita tengok ketika lawan Vietnam kita sudah bagi permainan terbaik, kita melakukan serangan. Kita tengok Vietnam pun gol menerusi set ‘pieces’ sepakan penjuru dan sepakan penalti.

“Rezeki memang tidak menyebelahi pasukan Malaysia, mungkin usaha kita itu tidak berapa cukup kalau kita lihat daripada sudut rezeki, mungkin kita kena lebihkan usaha dan insya-Allah rezeki itu akan sampai,” katanya pada sidang akhbar malam tadi.

Tambah Muhammad Syahmi, walaupun tanpa pemain utama, beliau sebaliknya bersedia apabila diberi peluang oleh Jurulatih, Tan Cheng Hoe untuk beraksi walaupun dalam perlawanan sebelum ini beliau sekadar memanaskan bangku simpanan.

Prestasinya wajar dipertimbang berdasarkan rekod baik ketika berdepan Thailand sebelum ini dan pernah menghasilkan gol yang membantu Malaysia mengatasi negara jiran itu pada separuh akhir Piala AFF 2018 di Bangkok.

Bagaimanapun, beliau sendiri mengakui prestasi terkininya tidak begitu memberangsangkan berbanding dua tahun lepas.

Perkara itu terjadi akibat beliau tidak berjaya mengekalkan kedudukan dalam skuad kebangsaan, namun beliau bersikap positif dan optimis untuk bangkit dengan aksi meyakinkan jika diberi peluang nanti.

“Prestasi saya dengan pasukan Selangor tidak begitu baik dan mungkin ini rezeki saya bersama skuad kebangsaan. Jika diberi peluang bermain, saya melihat ia sebagai platform untuk saya bangkit semula dan dapatkan prestasi saya sebelum ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.