fbpx

Selepas baham Penyu, Harimau Kumbang rebah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Saingan Liga Super musim ini nyata penuh ketidaktentuan dan kejutan.

Hanya tiga hari selepas melakar kemenangan sensasi 4-1 ke atas Terengganu dan dianggap pilihan untuk mencabar kelompok atasan, Penang FC kalah mengejut 3-1 kepada Kuala Lumpur City (KL City) sebentar tadi.

Hatrik pertama ketua pasukan, Paulo Josue menghadiahkan kemenangan keempat buat skuad The City Boys musim ini.

Sebaik saja wisel perlawanan ditiupkan, kedua-dua pasukan jelas dahagakan kemenangan apabila saling berbalas serangan, namun pujian harus diberikan kepada penjaga gol masing-masing yang memperagakan aksi cemerlang menyelamat gawang.

Skuad kendalian Bojan Hodak terlebih dulu menguji penjaga gol Penang, Bryan See Tian Keat menerusi rembatan kencang kaki kiri kapten pasukan, Paulo Josue pada minit kelapan namun berjaya ditepis keluar.

PAULO Josue melompat tinggi untuk merebut bola daripada dua pemain Penang FC. – IHSAN KUALA LUMPUR CITY FC

Tiba giliran pasukan pelawat bertindak balas menerusi tandukan penyerang berbisa dari Brazil, Casagrande namun tampanan penjaga gol tuan rumah, Kevin Mendoza menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi.

Usaha KL City memburu gol pembukaan akhir berhasil menerusi sepakan bola mati menarik, Paulo yang menyaksikan bola menuju ke penjuru kanan gawang Penang sekali gus menewaskan Bryan.

Tiga minit sebelum menuju bilik persalinan, Penang hampir menyamakan kedudukan tetapi rembatan pemain tengah, Danial Ashraf Abdullah sekadar melewati tiang gol.

Bersambung babak kedua, skuad KL City dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan, Zamzaidi Katimin selepas rembatan Izreen Izwandy terkena tangan pertahanan tengah pelawat, Vitor Santos pada minit ke-50.

Peluang terhidang itu, mudah dimanfaatkan Paulo untuk meletakkan KL City dikedudukan selesa dan juga gol kedua peribadinya dalam perlawanan tersebut.

Bagaimanapun, Penang berjaya merapatkan jurang jaringan menerusi ledakan Danial pada minit ke-63 namun Poulo sekali lagi menjarakkan kedudukan untuk melengkapkan hatriknya pada minit ke-88.

Kemenangan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras membolehkan KL City mendaki ke tangga keenam dengan 16 mata, manakala Penang FC kekal di kedudukan ketiga menerusi 22 mata.

×
×