fbpx

15 Jun 2021, 8:01 am

  TERKINI

Pemain Perak FC dapat gaji hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Perak FC akan membayar tunggakan gaji pemain hari ini bagi membolehkan mereka menyambut Aidilfitri dengan selesa.

Ahli Lembaga Pengarah Perak FC, Khairul Shahril Mohamed berkata, setakat ini Perak FC masih belum mendapat formula terbaik untuk mengatasi sepenuhnya isu kewangan pasukan sehingga menjejaskan pembayaran gaji pemain.

Katanya, namun Perak FC sedang berusaha untuk mengatasinya dan mempunyai pelan perniagaan untuk memulihkan masalah kewangan.

“Ingin saya jelaskan dakwaan gaji pemain tertunggak hingga tiga bulan sebenarnya tak ada, kalau ada tertunggak pun tak sampai tiga bulan. Untuk Perak FC II kita memang tiada tunggakan tetapi untuk Perak FC kita ada tunggakan sikit, tidaklah sampai tiga bulan.

“Esok (hari ini) kita akan selesaikan gaji yang tertunggak itu bagi memastikan mereka dapat menyambut Aidilfitri dalam keadaan selesa.

“Saya tidak pasti sama ada pembayaran tunggakan ini menyelesaikan sepenuhnya bayaran gaji pemain tetapi banyak yang selesai kalau ada tunggakan pun seorang dua yang mungkin tertunggak sebulan.

“Saya akan cuba pastikan tunggakan gaji tidak melebihi dua bulan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Khairul Shahril Mohamed

Khairul Shahril Mohamed yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak berkata, Perak FC tidak hanya berdiam diri berhubung isu kewangan pasukan dan mahu peminat yakin masalah itu akan diatasi.

“Masalah kita masih berkaitan kewangan, itu saja sebenarnya. Kita masih tak dapat formula terbaik untuk mengatasinya namun usaha sedang dijalankan, yakinlah.

“Saya nak bagitau peminat, Perak FC bukan duduk saja tapi kami ada perancangan, cuma tak boleh kita zahirkan kepada umum mengenai apa yang kita nak buat seperti dari segi pelan perniagaan kita.

“Kita faham perasaan peminat yang begitu sayangkan pasukan, mereka risau dengan keadaan semasa tapi saya tak salahkan mereka, kerisauan mereka itu kerana keadaan kita memang kurang baik kali ini, tapi kita mengusahakan dengan pelbagai cara,” katanya. – UTUSAN