Pahang 'borong' 4 import baharu - Utusan Malaysia

Pahang ‘borong’ 4 import baharu

APAKAH Lee Tuck (tengah) antara pemain import yang bakal dikorbankan Sri Pahang?
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sri Pahang mendaftarkan empat pemain import baharu sebaik saja jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) dibuka secara rasmi hari ini.

Walaupun pendaftaran hanya akan ditutup pada 30 Mei tetapi Tok Gajah tidak mahu me­nunggu lama untuk melakukan rombakan dalam usaha ‘menyelamatkan’ pasukan dari ter­singkir ke Liga Perdana musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang, Datuk Muhammed Suffian Awang yakin jika urusan pendaftaran diselesaikan awal, peluang pemain import baharu diturunkan menentang Sela­ngor dalam perlawanan pertama pusingan kedua Liga Super esok cerah.

Penyerang kebangsaan ­Myanmar, Aung Kaung Mann sudah berada di Kuantan, malah turut kelihatan di Stadium Darul Makmur ketika Sri Pahang menewaskan UiTM 5-0, Ahad lalu.

Bekas penyerang Aveyawadi United berusia 23 tahun itu sudah melepasi ujian kesihatan dan disahkan tiada halangan untuk beraksi di bawah bimbingan Dollah Salleh dengan segera.

Sri Pahang juga berjaya mendapatkan bekas pemain Kebangsaan Ghana yang kini bermain di Liga Myanmar, mewakili Shan United, Abu Bakar Yakubu, 30, yang mempunyai ketinggian 1.8 meter.
Kenny Athiu, 28, kelahiran Sudan Selatan yang pernah mewakili skuad kebangsaan Sudan Selatan sebelum bermain di Melbourne Victory di Australia dengan 16 penampilan terma­suk di Kejohanan AFC juga termasuk dalam radar pendaftaran baharu Sri Pahang.

AUNG KAUNG MANN

Sementara itu, pemain kelahiran Argentina berusia 22 tahun, Manual Hildago yang pernah mewakili Benfica FC dan Sheffiel Wednesday turut mendapat kepercayaan Sri Pahang.

“Sri Pahang secara rasmi te­lah mendaftar empat import baharu bagi mengantikan empat pemain import sedia ada,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Musim ini, Pahang menyenaraikan lima import iaitu Yevhen Bokhashvili dari Ukraine, Herold Goulon (Perancis), Lee Tuck (England), Mamadou Wague (Lebanon) dan Pedro Henrique (Timor Leste).

Kini, teka-teki dalam kala­ngan peminat Sri Pahang ialah siapa pemain yang akan kekal bersama pasukan itu.

Begitupun, hasrat peminat Pahang untuk melihat kelibat penyerang kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn bergandingan dengan Aung Kaung Mann di jentera serangan tidak kesampaian.

Menurut Muhammed Suffian, perbincangan telah dilakukan untuk membawa penyerang berusia 30 tahun itu namun menemui kegagalan kerana yuran perpindahan yang mahal.

Selepas mengharungi 11 perlawanan, Sri Pahang kini menghuni zon penyingkiran dengan berkedudukan kedua tercorot menerusi lapan mata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya