Mourinho pengurus baharu AS Roma - Utusan Malaysia

Mourinho pengurus baharu AS Roma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROME: Tidak sampai sebulan selepas dipecat oleh Tottenham, Jose Mourinho sudah mendapat pekerjaan baharu apabila diumum sebagai pengendali baharu AS Roma.

Mourinho akan membimbing kelab Itali itu musim depan untuk menggantikan Paulo Fonseca yang berundur pada hujung musim ini.

“Sebaik saja Jose bebas, kami segera mengambil peluang untuk bercakap dengan salah seorang pengurus terhebat sepanjang zaman itu.

“Kami terpikat dengan keinginan tinggi Jose untuk menang dan semangatnya terhadap bola sepak.

“Tidak kira berapa banyak piala yang telah dimenangi, dia sentiasa bersemangat untuk menyahut cabaran seterusnya.

“Dia memiliki pengetahuan, pengalaman dan kepemimpinan untuk membawa kami bersaing di semua peringkat,” kata Pengurus Besar Roma, Tiago Pinto.

JOSE Mourinho membawa Inter Milan muncul juara Eropah musim 2009-2010 ketika kali terakhir membimbing kelab Itali.

Mourinho, 58, yang terkenal dengan julukan The Special One dipecat oleh Tottenham pada 19 April lalu ekoran prestasi hambar kelab London itu.

Sejak beberapa minggu lalu, akhbar Itali menunggu kehadiran Maurizio Sarri ke Rome, namun pelantikan Mourinho agak mengejutkan mereka.

Mourinho akhirnya akan kembali ke Itali selepas 11 tahun meninggalkan negara itu sejak membimbing Inter Milan dari 2008 hingga 2010.

“Terima kasih kepada keluarga Friedkin (pemilik Roma) kerana memilih saya untuk membimbing kelab hebat hebat ini dan menjadi sebahagian visi mereka.

“Selepas bertemu pemilik dan Tiago Pinto, saya memahami cita-cita AS Roma. Impian besar yang membawa saya ke sini untuk bersama membina projek kemenangan dalam beberapa tahun akan datang,” kata Mourinho.

Biarpun kariernya sering diselubungi kontroversi dan beberapa kali dipecat, namun Mourinho antara jurulatih yang berjaya dan pernah merangkul pelbagai kejuaraan.

Dia pernah merangkul kejuaraan Eropah bersama Porto dan Inter, selain memenangi Serie A, La Liga (Real Madrid), Liga Perdana Inggeris (Chelsea) dan Liga Primeira Portugal. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya