JDT mula rasai tekanan - Utusan Malaysia

JDT mula rasai tekanan

PENYERANG JDT, Leandro Velazquez dikepung pemain Kuala Lumpur City dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur malam ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur City (KL City) muncul pasukan ketiga mengikat Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan keputusan 1-1 dalam aksi Liga Super musim ini, di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.

Sebelum ini, Selangor menjadi pasukan pertama mencuri mata daripada JDT, disusuli Perak dan Terengganu pula muncul pasukan sulung meleburkan rekod 21 bulan tanpa kalah skuad Harimau Selatan.

Turun dengan misi bangkit meraih kemenangan, skuad Harimau Selatan melancarkan serangan sebaik sahaja perlawanan bermula namun berjaya ditangkis penjaga gol KL City, Kevin Mendoza.

Anak buah Bojan Hodak tidak kurang hebatnya, apabila turut memberi tentangan sengit kepada barisan pemain bintang juara liga tujuh kali berturut-turut berkenaan.

Peluang terbaik JDT membuka tirai jaringan hadir pada minit ke-38 menerusi rembatan kencang Gonzalo Caberra tetapi bola sekadar singgah menggegar palang tuan rumah.

Ketika perlawanan babak pertama seakan berakhir tanpa jaringan, penyerang tuan rumah Romel Morales menceriakan kem KL City dengan meledak gol pembukaan selepas memanfaatkan situasi satu lawan satu dengan penjaga gol JDT, Farizal Marlias.

Memasuki babak kedua, tempo perlawanan kedua-dua pasukan terus rancak apabila menerusi rembatan pemain sayap JDT, Arif Aiman tetapi percubaan itu tepat ke arah Kevin.

Usaha skuad kendalian Benjamin Mora mencari gol penyamaan akhirnya berjaya hasil tandukan Hariss Harun pada minit ke-55 selepas memanfaatkan hantaran Nazmi Faiz menerusi sepakan penjuru.

Jaringan itu jelas meniup motivasi pemain JDT dengan meningkat asakan ke kubu KL City, yang dilihat lebih banyak bertahan berbanding babak pertama menyaksikan permainan kedua-dua pasukan lebih seimbang.

Begitupun, serangan balas tuan rumah tetap mendatangkan bahaya kepada pertahanan JDT terutama rembatan Hadin Azman pada minit ke-79 namun bola sekadar melewati palang gol pelawat.

Biarpun kedua-dua pasukan saling melakukan serangan namun masing-masing buntu untuk menambah gol.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya