Gergasi Merah tumbang di laman sendiri - Utusan Malaysia

Gergasi Merah tumbang di laman sendiri

PEMAIN Terengganu meraikan kejayaan menumpaskan Selangor dalam aksi Liga Super di Petaling Jaya malam ini. - UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Terengganu bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan 2-1 ke atas Selangor dalam saingan Liga Super, sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan Penyu merampas kedudukan kedua daripada  Kedah dan hanya ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Dalam aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu, Selangor terlebih dahulu berada di hadapan selepas Ifedayo Olusegun berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-49.

Ifedayo hampir menggandakan jaringan pada minit ke-65 selepas memperdayakan dua pertahanan Terengganu namun Suhaimi Hussin berjaya mempertahankan gawangnya daripada terus dibolosi.

Suhaimi terus cemerlang apabila sekali lagi memastikan gawangnya tidak dibolosi apabila berjaya menyelamatkan percubaan kaki kiri Oliver Buff dua minit kemudian.

Dalam aksi itu juga, Selangor berpeluang menambah jaringan termasuk sepakan penalti pada separuh masa pertama Ifedayo yang berjaya diselamatkan Suhaimi.

Pemain gantian Engku Syakir Engku Yacob menyamakan kedudukan pada minit ke-72 menerusi rembatan susulan selepas Khairul Azhan Khalid gagal menampan kemas percubaan pertama pasukan pelawat.

Kapten Terengganu, Carli De Murga menjadi wira pasukan pelawat apabila meledak jaringan kemenangan apabila tandukannya terkena palang sebelum menerjah gawang Khairul Azhan bagi memastikan skuad Nafuzi Zain meraih tiga mata penting sebelum Liga Malaysia berehat panjang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya