FIFA bantu 147 pemain Malaysia tak dapat gaji - Utusan Malaysia

FIFA bantu 147 pemain Malaysia tak dapat gaji

STUART RAMALINGAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah meluluskan geran bantuan kepada seramai 147 bekas pemain daripada lima pasukan yang telah tutup di negara ini.

Perkara itu dimaklumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan menjelaskan para pemain berkenaan layak menerima geran bantuan di antara AS$1,227.67 (RM5,000) hingga AS$9,227.67  (RM38,000) setiap seorang.

Ia menerusi program ‘FIFA Fund for Football Players’ atau lebih dikenali sebagai FIFA FFP yang diwujudkan pada 2020 menerusi kerjasama FIFA dan Persekutuan Antarabangsa Pemain Bola Sepak Profesional (FIFPro).

Lebih 1,000 orang pemain seluruh dunia membabitkan 109 kelab dari 36 negara anggota FIFA telah diluluskan permohonan mereka oleh FIFA termasuk 147 permohonan dari Malaysia iaitu bagi fasa pertama yang membabitkan tunggakan gaji dari Julai 2015 hingga Jun 2020.

“Permohonan bagi pemain-pemain dari Malaysia itu dibuat menerusi Persatuan Pemain-pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dengan kerjasama Unit Undang-undang FAM yang menyerahkan keputusan kes tunggakan gaji daripada Jawatankuasa Status FAM dan termasuk juga kes yang telah diputuskan oleh FIFA.

“FAM turut memberikan pengesahan status pasukan atau kelab terbabit yang telah ditutup secara rasmi,” menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menerusi kenyataan media, semalam.

Menerusi dana FIFA FFP ini, jumlah keseluruhan wang yang bakal diterima oleh 147 orang pemain dari Malaysia ini ialah sebanyak AS$456,214.48  (RM1.88 juta) iaitu 2.85 peratus daripada jumlah keseluruhan dana AS$16 juta  (RM66 juta) bagi empat fasa sehingga penghujung 2022.

“FAM berterima kasih kepada FIFA dan FIFPro kerana menerusi wang dana yang diberikan ini, ia telah membantu para pemain yang terkesan dengan tunggakan gaji yang gagal diselesaikan pasukan-pasukan yang telah ditutup.

“Tidak lupa kepada PFAM yang telah memainkan peranan utama dalam merealisasikan agenda ini bagi membolehkan pemain-pemain akhirnya akan dapat menerima sebahagian wang tunggakan tersebut.

“Namun begitu penerimaan dana ini bukanlah bermaksud kes ini sudah selesai sepenuhnya memandangkan dana yang diterima hanyalah sebahagian dan masih terdapat baki tunggakan yang perlu diselesaikan.

“Oleh itu, FAM menyeru pihak-pihak yang bertanggungjawab untuk tampil dan menyelesaikan baki tunggakan tersebut,” tegasnya.

Pihak PFAM ketika ini, sedang mengemas kini fakta kelulusan daripada FIFA dan FIFPro dan akan mengeluarkan kenyataan tidak lama lagi.

FIFA akan mengkreditkan wang dana berkenaan ke akaun para pemain yang terlibat dalam kadar yang segera sebaik sahaja menerima maklumat akaun bank mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya