RM1.9 bilion habuan amat menggoda - Utusan Malaysia

RM1.9 bilion habuan amat menggoda

PESAWAT ringan yang membawa kain rentang '#SayNoToSuperLeague melewati Elland Road, Leeds ketika perlawanan Liga Perdana Inggeris sedang berlangsung di antara Liverpool menentang Leeds United semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Mengapa pertandingan kontroversi, Liga Super Eropah (ESL) amat mengujakan kelab gergasi ? Kerana ia menawarkan habuan empat kali ganda lebih banyak berbanding pemenang Liga Juara-Juara musim lalu.

Ahad lalu, 12 gergasi Eropah mengumumkan untuk menubuhkan ESL bagi menandingi Liga Juara-Juara, namun rancangan tersebut ditentang hebat oleh badan bola sepak Eropah, UEFA, pemain, jurulatih, penyokong dan pengkritik.

Bagaimanapun bagi pengurusan kelab, pertandingan itu amat menggoda kerana membolehkan mereka menikmati habuan yang amat lumayan.

Enam gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United, Manchester City, Liverpool, Chelsea, Arsenal dan Tottenham akan membentuk kesepakatan dengan Real Madrid, Barcelona, Atletico Madrid (Sepanyol), Juventus, Inter Milan dan AC Milan (Itali) untuk menubuhkan pertandingan baharu itu.

Mengikut format asal, liga berkenaan yang bakal diadakan pada pertengahan minggu akan disertai 15 ‘kelab pengasas’, diikuti lima pasukan yang perlu melalui proses kelayakan dan akan bertukar-tukar setiap musim.

Musim lalu, gergasi Jerman, Bayern Munich dianggarkan menerima 130 juta euro (RM645 juta)  atas kejayaan merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara.

Bagaimanapun menurut New York Times, setiap 20 pasukan yang bertanding  dalam ESL boleh menikmati sehingga 400 juta euro (RM1.9 bilion) setiap musim dan jumlah itu empat kali ganda lebih tinggi berbanding pemenang Liga Juara-Juara.

Mereka juga akan memperoleh minimum 150 juta euro (RM749 juta) setiap musim menerusi agihan daripada jumlah keseluruhan 3.43 bilion euro (RM17 bilion) hanya dengan menyertai pertandingan tanpa perlu menjuarainya.

Musim lalu, Bayern dipercayai membawa pulang tambahan 46.35 juta euro (RM230 juta) daripada duit penyiaran, namun buat masa ini tidak dapat dipastikan siapa  bakal menyiarkan ESL dan berapakah yang diterima daripada hak penyiaran. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya