fbpx

11 April 2021, 11:34 pm

  TERKINI

Kogileswaran kecewakan KL City

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kuala Lumpur City (KL City) yang mengakhiri perlawanan dengan 10 pemain terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata bersama Petaling Jaya City (PJ City) selepas terikat 2-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.

Dibarisi sepenuhnya pemain tempatan, PJ City membuktikan mereka bukan lawan yang mudah untuk ditumpaskan mana-mana pasukan lain dalam liga dengan memiliki lima tenaga import.

Aksi babak pertama dilihat seimbang untuk kedua-dua pasukan meskipun pasukan pelawat mempunyai peluang terbaik untuk membuka tirai jaringan menerusi percubaan pertahanan dari Australia, Giancarlo Gallifuoco yang tidak dicabar namun bola tandukannya sekadar melintasi tiang gol kanan pasukan PJ City.

Memasuki lima minit babak kedua, pasukan kendalian P.Maniam akhirnya berjaya memecah kebuntuan menerusi gol sendiri yang dijaringkan pertahanan KL City, Irfan Zakaria selepas tertampan bola hantaran lintang Mahali Jasuli daripada sebelah kanan gawang pasukan pelawat.

Tersentak dengan jaringan itu, KL City kembali mengatur gerakan serangan dan hanya memerlukan dua minit untuk memperolehi gol penyamaan hasil rembatan rendah kapten pasukan, Poulo Josue.

Jaringan itu nyata menyuntik semangat skuad kendalian Bojan Hodak untuk mencari gol kedua, dan usaha itu membuahkan hasil menerusi rembatan dari luar kotak yang dilakukan Hadin Azman untuk menewaskan penjaga gol tuan rumah, Kalamullah Al-Hafiz buat kali kedua pada minit ke-57.

Seminit kemudian, KL City terpaksa bermain 10 pemain selepas pertahanan kanan, Nik Shahrul Azim menjatuhkan penyerang PJ City, R. Kogileswaran sekali gus dilayang kad merah selepas menerima kad kuning pertama pada minit ke-38.

Ketika KL City sudah diambang kemenangan namun rembatan kencang R. Kogileswaran pada minit terakhir perlawanan memastikan mereka tidak berputih mata untuk meraih mata.