Kejuaraan sulung NSL milik KL Wildcats - Utusan Malaysia

Kejuaraan sulung NSL milik KL Wildcats

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASUKAN Kuala Lumpur (KL) Wildcats memastikan kejuaraan Netball Super League menjadi milik mereka apabila membenam cabaran Johor Jewels 58-47 pada perlawanan akhir di Stadium Juara, Bukit Kiara malam tadi.

Skuad kendalian Norizan Rajab itu menampilkan aksi yang cukup memukau meskipun menerima tentangan sengit daripada pasukan dari Selatan tanah air itu.

Ibarat buku dengan ruas, aksi yang ditampilkan kedua-dua pasukan pada suku masa pertama cukup menarik apabila saling berbalas serangan ke arah kubu pertahanan masing-masing.

Sorakan daripada penonton yang hadir serta pasukan-pasukan bertanding menambah lagi kehangatan perlawanan sebelum suku masa pertama berakhir dengan 13-13.

Bersambung suku masa kedua, skuad warga kota mendapat suntikan semangat apabila pemain bintang, Noramirah Dayana Noor Azhar dimasukkan sebagai goalkeeper (GK).

Kemasukan Noramirah sekali gus menyaksikan KL meningkatkan tempo permainan selain dilihat lebih tenang di bahagian pertahanan dan mendahului 31-25.

‘Enjin’ pasukan Johor, Pow Mei Foong seolah-olah dikunci pada suku masa kedua sehingga membolehkan KL menguasai bahagian tengah seterusnya memudahkan tugas jentera serangannya.

Pada suku masa ketiga, Johor dilihat cuba untuk mengurangkan defisit jaringan dengan menampilkan aksi lebih agresif, namun dihampakan oleh keampuhan benteng pertahanan KL.

Meskipun berjaya mengurangkan perbezaan jaringan, namun ia masih belum mampu untuk menghalang KL daripada terus mendahului dengan kedudukan 41-36.

Memasuki suku masa keempat, kedua-dua pasukan masih belum mengendurkan asakan ke arah kubu pertahanan masing-masing apabila terus melakukan serangan demi serangan.

Bagaimanapun, nasib lebih menyebelahi KL apabila mereka berjaya mengekang asakan Johor sebelum memastikan trofi NSL menjadi milik mereka menerusi kemenangan 58-47.

Sebagai rekod, KL Wildcats pastinya akan berada dalam sejarah penganjuran apabila menjadi pasukan pertama menjulang kejuaraan sulung NSL itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya