23 pasukan mohon Liga M3, hanya 14 lepas tapisan - Utusan Malaysia

23 pasukan mohon Liga M3, hanya 14 lepas tapisan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Liga Bolasepak Amatur (AFL) kelmarin menyenarai pendek 14 pasukan yang bakal bertanding dalam saingan Liga M3 musim ini.

Menurut Pengerusi AFL, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi, 23 pasukan telah menghantar permohonan untuk menyertai Liga M3 2021.

Daripada 14 Pasukan di atas, maksimum enam pasukan yang masih lagi disaring akan dipilih pihak AFL bagi melengkapkan senarai pasukan akhir yang bertanding.

“Antara faktor yang menyebabkan pasukan gagal dalam proses saringan dokumen adalah tiada sokongan daripada Persatuan Bola Sepak Negeri (PBN), status kewangan  tidak kukuh atau gagal untuk menghantar dokumen lengkap yang berkaitan.

“Seperti yang diumumkan 23 Disember 2020, AFL kini dalam proses penstrukturan semula sebagai persediaan pasukan ke arah liga semi profesional di mana konsep atau format pertandingan yang baharu akan dikongsi kelak selepas pengumuman senarai akhir pasukan yang bertanding.

“Antara kriteria penting yang menjadi pengukur proses saringan dokumen untuk bertanding di dalam Liga M3 2021 adalah kesukanan, pengurusan dan pentadbiran, kewangan dan perundangan.

“Bagi musim ini juga, AFL telah membuka slot tambahan kepada pasukan baharu menerusi kerjasama bersama Persatuan Bolasepak Negeri (PBN) sekali gus memberi peluang yang sama rata kepada pasukan yang mempunyai hasrat untuk bertanding.

“Proses saringan dokumen ini telah dijalankan dengan adil ke atas semua pasukan di mana AFL telah memastikan komunikasi yang telus bersama mereka (pasukan),” jelasnya lagi.

Selain itu, Yusoff turut berkongsi bahawa pasukan daripada Liga M4 juga diberi peluang untuk menyertai Liga M3 menerusi slot tambahan yang ditawarkan oleh AFL namun setakat ini hanya Real Chukai sahaja yang berjaya mengemukakan dokumen secukupnya.

“Bagi memastikan pasukan-pasukan yang bertanding dalam Liga M3 musim ini bersedia untuk melangkah ke liga profesional, AFL juga akan bekerjasama bersama Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk melaksanakan dasar pelesenan dan penswastaan kelab di peringkat liga amatur bagi menjamin kualiti pasukan-pasukan Liga M3 dari segala aspek untuk tahun-tahun seterusnya,” ujarnya.

14 PASUKAN LEPAS TAPISAN
1. Armed Forces FC
2. BRM FC
3. Cyberlynx FC
4. FC Langkawi
5. Harini KS FC
6. Kijang Rangers FC
7. Kinabalu Jaguars FC
8. KSR Sains FC
9. Kuala Kangsar FC
10. Langkawi City FC
11. Manjung City FC
12. MNY FC
13. PIB FC
14. Real Chukai FC

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya