Azizulhasni, Firdaus naik podium di Australia - Utusan Malaysia

Azizulhasni, Firdaus naik podium di Australia

AZIZULHASNI Awang (kiri) dan Shah Firdaus Sahrom meraikan kejayaan menaiki podium pada Kejohanan Berbasikal Australia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom terus mempersembahkan aksi membanggakan menjelang Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini apabila masing-masing meraih penamat di kedudukan podium Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan Australia, sebentar tadi.

Azizulhasni yang terkenal dengan julukan  The Pocket Rocketman memenangi perak, manakala Shah Firdaus meraih gangsa dalam acara pecut individu  yang berlangsung di Velodrom Anna Meares di Brisbane.

Azizulhasni sebelum itu mengenepikan Leigh Hoffman di suku akhir dan menumpaskan Tom Cornish dalam separuh akhir namun gagal mengatasi kayuhan juara bertahan Matthew Richardson di pentas final dengan keputusan 0-2.

Shah Firdaus yang tewas kepada Richardson dalam separuh akhir berjaya menebus kekecewaan dengan meraih gangsa dalam aksi penentuan ketiga, keempat.

Ketua jurulatih kebangsaan, John Beasley berpuas hati dengan keputusan itu dan mengakui mereka masih dalam fasa latihan sebelum memulakan cabaran di Sukan Olimpik.

“Mereka berada tepat pada peringkat persiapan seperti yang saya jangkakan walaupun masih dalam fasa latihan keras pada masa ini.

“Saya melatih mereka dua hari sebelum bermulanya kejohanan ini.

“Saingan di Olimpik nanti adalah selama lima hari jadi kami perlu mempersiapkan mereka mengikut kesesuaian. Saya sangat gembira dengan apa yang mereka lakukan walaupun masih ada banyak perkara yang boleh diperbaiki,” katanya.

Semalam, Azizulhasni dan Shah bergandingan bersama pelumba Rusia, Shane Perkins yang sebelum ini mewakili Australia dalam acara pecut berpasukan lelaki dan berada di tempat kedua dalam kelayakan selepas mencatat 44.854 saat.

Begitupun, mereka tidak dapat meneruskan saingan ke peringkat perebutan pingat memandangkan mereka bukan pasukan rasmi.

Esok, Azizulhasni dan Shah sekali lagi akan turun beraksi bagi mempertahankan pingat emas dan gangsa dalam acara kegemaran mereka, keirin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.