Melaka lunas hutang RM915,000 - Utusan Malaysia

Melaka lunas hutang RM915,000

SAIFUL MAT SAPRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kelab Bola Sepak Melaka United (MUFC) telah mengeluarkan RM915,000 untuk membayar  tunggakan gaji, elaun dan caruman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) membabitkan dua pemain import serta 35 pegawai serta pemain Melaka United (MU).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Saiful Mat Sapri berkata, dua pemain import musim lalu ialah Uche Agba dan Curran Ferns, manakala tunggakan gaji seorang lagi, Narupon Putsorn Wild akan dijelaskan dalam masa terdekat.

“Saya beri jaminan tunggakan gaji Wild akan diselesaikan segera sebab tidak mahu pendaftaran MU dikenakan tindakan larangan pendaftaran pemain pada perpindahan jendela kedua Liga Malaysia 2021.

“Alhamdulillah setakat ini MUFC berjaya menyelesaikan bayaran gaji, elaun dan caruman KWSP berjumlah RM915,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tindakan pantas MUFC itu ekoran surat arahan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meminta tunggakan gaji Ferns dijelaskan secepat mungkin manakala Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pula berhubung pemain import dari Thailand, Wild.

Mengulas lanjut Mohd. Saiful berkata, pembayaran gaji dan elaun pemain serta pegawai seramai 35 orang itu pula dibayar mengikut jadual seperti yang telah dipersetujui melalui perbincangan kedua-dua belah pihak sebelum ini.

Katanya, sejumlah 35 pemain dan pegawai yang akan menerima gaji dan elaun terdiri daripada 17 pemain musim lalu manakala 18 lagi mereka yang menyarung jersi MU musim 2021.

“Tunggakan caruman KWSP telah selesai dibayar manakala tunggakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sudah mula dibayar mengikut jadual pembayaran yang telah ditetapkan, ” ujarnya.

Beliau menegaskan usaha menyelesaikan segala tunggakan gaji, elaun dan caruman adalah bagi memastikan penyertaan MU dalam saingan Liga Malaysia 2021 yang dijadualkan bermula 5 Mac 2021 tidak berdepan masalah dan tidak dikenakan tindakan yang boleh menjejaskan imej bolasepak Melaka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya