fbpx

Pengalaman bawa V Shem-Wee Kiong ke separuh akhir

GOH V Shem (kiri) dan Tan Wee Kiong.

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki berpengalaman negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong mengesahkan slot separuh akhir kejohanan badminton Terbuka Thailand selepas menewaskan rakan senegara, Nur Izzuddin Rumasni-Goh Sze Fei.

Dalam aksi di Bangkok itu, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio itu mempamerkan kecemerlangan mereka dengan menyingkirkan pasangan muda negara 21-16, 21-19.

Aksi itu menyaksikan Izzuddin-Sze Fei mampu memberikan saingan seawal set pertama namun gagal menyaingi pengalaman yang dimiliki V Shem-Wee Kiong.

Awal set kedua menayksikan V Shem-Wee Kiong banyak melakukan kesilapan mudah namun bangkit dengan permainan pantas untuk menyekat kemaraan Izzuddin-Sze Fei dalam kejohanan Siri Jelalaj Dunia Super 1,000 bernilai AS$1 juta (RM4.04 juta).

“Kami kena mengerah kudrat ketika melakukan pukulan kerana tiupan angin yang tidak menentu tapi kami harap dapat kekal konsisten pada perlawanan esok,” kata V Shem dipetik kepada Bernama.

Gandingan negara itu bakal berdepan pasangan Indonesia Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin yang mengenepikan pasangan England Marcus Ellis-Chris Langridge 12-21, 21-14, 21-15.

Satu lagi pasangan beregu lelaki negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi terkandas di suku akhir apabila tewas kepada pilihan keenam dari Taiwan Lee Yang-Wang Chi Lin 21-23, 15-21.

Beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying juga tewas di tangan wakil tuan rumah Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 18-21, 17-21 manakala pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia gagal meneruskan kemaraan selepas tunduk kepada pilihan kedua Chou Tien Chen dari Taiwan 17-21, 15-21.

Turut tersingkir beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah yang tewas 15-21, 12-21 kepada pasangan berpengalaman Indonesia, Greysia Polii-Apriyani Rahayu.

Skuad badminton negara akan meneruskan aksi di Bangkok dalam Kejohanan Toyota Terbuka Thailand di venue sama pada 19 hingga 24 Januari ini.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN