Liverpool pamer karakter juara - Utusan Malaysia

Liverpool pamer karakter juara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Liverpool menamatkan kemarau kemenangan dengan penuh bergaya apabila menumpaskan Tottenham 3-1 di tempat lawan sebentar tadi.

Anak-anak buah Jurgen Klopp akhirnya menampilkan karakter sebenar sebagai penyandang juara, sekali gus kembali dalam kelompok empat terbaik Liga Perdana Inggeris.

Ini kemenangan pertama Reds selepas lima perlawanan, malah mereka akhirnya meledak gol setelah buntu dalam empat aksi terakhir.

Trio Mohamed Salah, Roberto Firmino serta Sadio Mane kembali digandingkan, dan mempamer sentuhan yang membawa Liverpool menjuarai liga musim lalu dan menjulang kejuaraan Eropah dua musim sebelumnya.

SADIO Mane (tengah) meledak satu gol dan dua gerakan jaringan.

Begitupun kebimbangan menyelubungi Reds di awal permainan apabila Son Heung-min meledak gol pembukaan Spurs, namun jaringan dibatalkan kerana video bantuan pengadil (VAR) mendapati dia sudah ofsaid.

Firmino akhirnya meletakkan Reds di depan selepas menyudahkan hantaran silang Mane di hujung babak pertama.

Trent Alexander-Arnold menggandakan kedudukan 2-0 pada minit ke-47, sekali lagi berpunca daripada gerakan Mane.

Begitupun kurang seminit kemudian Tottenham membalas menerusi jaringan  jarak 22 ela yang disempurnakan
Pierre-Emile Hojbjerg untuk kedudukan 2-1.

Salah meledak gol ketiga Liverpool, malangnya jaringan dibatalkan selepas ulang tayang VAR mendapati bola terkena tangan Firmino.

Keputusan itu tidak mematahkan semangat Reds dan Mane akhirnya menambah gol ketiga mereka pada minit ke-64 untuk kemenangan 3-1.


Kemenangan ini mampu memberi kesan besar buat Liverpool, yang melancarkan serangan bertali arus, malah mempunyai peluang untuk menang 5-1 atau 6-1.

Bintang-bintang Reds yang sebelum ini malap kembali menyinar, terutama Firmino, Mane dan Alexander-Arnold.

Jaringan Firmino menamatkan penantian 486 minit Liverpool untuk mencari gol pertama liga.

Dengan mengumpul 37 mata, Liverpool kini hanya dipisahkan empat mata di belakang pendahulu, Manchester City.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.