FAM cari tarikh terbaik - Utusan Malaysia

FAM cari tarikh terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan melakukan perancangan terperinci sebelum menetapkan tarikh baharu untuk mengadakan kem latihan pusat secara kuarantin bagi skuad Harimau Malaya.

Presidennya, Datuk Hamidin Amin berkata, pihaknya berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican kerana memberi lampu hijau untuk pasukan kebangsaan mengadakan kem latihan pusat.

Tambah beliau, FAM akan segera melakukan gerak kerja untuk mengadakan perbincangan dengan pihak terlibat seperti Majlis Sukan Negara (MSN) dan kelab Liga Malaysia bertujuan penyediaan latihan dan pelepasan pemain.

HAMIDIN MOHD. AMIN

“Pertama sekali, setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan yang cukup prihatin dengan isu membabitkan skuad Harimau Malaya ini dan beliau juga sentiasa berusaha untuk memastikan kita dapat kembali berlatih bagi mempersiapkan pasukan menjelang perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Mac ini.

“Dengan mengambil kira kem latihan pusat ini perlu diadakan secara kuarantin, kami perlu melakukan perancangan yang cukup teliti terutama dalam mendapatkan persetujuan daripada MSN terutama daripada segi tempat tinggal dan juga kemudahan padang latihan sebelum dapat membuat ketetapan bagi tarikh kem latihan pusat ini untuk diadakan.

“Banyak perkara lain yang turut perlu dipertimbangkan antaranya pelepasan pemain memandangkan kelab-kelab Liga Malaysia juga dalam persiapan menjelang sepak mula Liga Super dan Liga Perdana 2021 pada penghujung Februari depan. Kami akan maklumkan dalam masa terdekat ini,” kata Hamidin dalam satu kenyataan sebentar tadi.

FAM sebelum ini terpaksa membatalkan kem latihan pusat skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu yang sepatutnya berlangsung pada 16 hingga 25 Januari selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa negeri bermula Rabu lalu.

Harimau Malaya dijadual menghadapi perlawanan keenam dan ketujuh Kumpulan G bagi Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu UAE pada 25 Mac 2021 di tempat lawan dan menentang Vietnam pada 30 Mac 2021 di gelanggang sendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya