Remaja 18 tahun penyelamat JDT - Utusan Malaysia

Remaja 18 tahun penyelamat JDT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Gol tunggal pemain remaja sensasi, Arif Aiman Mohd. Hanafi memastikan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) mara ke suku akhir Piala Malaysia selepas  bekerja keras menundukkan kelab Liga Perdana, Kuching FA 1-0 sebentar tadi.

Baru berusia 18 tahun, Arif Aiman mempamer aksi memukau di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin apabila meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-19.

Ia adalah jaringan sulung pemain muda itu yang sudah membuat dua penampilan bersama Harimau Selatan musim ini.

JDT hampir mencipta jaringan di awal perlawanan menerusi Gonzalo Cabrera, namun percubaannya dalam kotak penalti jauh melambung tinggi.

Skuad bimbingan Benjamin Mora terus mengasak gawang pasukan pelawat dengan menggandakan serangan namun percubaan demi percubaan dibuat gagal menerjah gol lawan.

Asakan demi asakan JDT akhirnya membuahkan hasil berpunca daripada gerakan direncanakan Cabrera dengan membuat hantaran lambung ke arah Diogo di dalam kotak penalti yang bersahaja mendada bola itu kepada Arif Aiman untuk menjaringkan gol pertama JDT.

Arif Aiman hampir menambah gol kedua pada minit ke-35, namun rembatannya kali agak lemah dan berjaya diselamatkan penjaga gol l, Mohd. Iqbal Suhimi.

Mohd. Iqbal menyelamatkan dua percubaan berganda oleh Diogo dan La’vere Corbin Ong di hujung permainan bagi memastikan keputusan kekal sebelum babak kedua bersambung.

Pada separuh masa kedua, skuad kendalian Akira Higashiyama tampil berbeza dan lebih garang mencari gol penyamaan, bagaimana pun gerakan yang diatur berjaya dipatahkan benteng utuh pasukan JDT.

Pertukaran demi pertukaran yang dibuat oleh kedua-dua pasukan menyaksikan perlawanan tersebut kekal rancak dengan aksi-aksi bertenaga yang mencemaskan.

Kedua-dua pasukan masing-masing bertali arus melakukan serangan namun keputusan kekal ke wisel penamat.

JDT akan bertemu Kuala Lumpur di suku akhir selepas skuad The City Boys menerima laluan percuma ekoran ketiadaan Sabah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya