fbpx

25 November 2020, 10:03 pm

  TERKINI

Terengganu mencari Safawi 2.0

WAN Sukairi melawat Galeri Bola Sepak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Nenas di Kuala Nerus, Terengganu ketika pelancaran Program Mencari Safawi 2.0 hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YOSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Terengganu berhasrat melahirkan lebih ramai pemain sehebat tonggak skuad kebangsaan, Safawi Rasid dengan melancarkan Program Mencari Safawi 2.0 yang akan bermula, hujung tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, program cetusan idea Jabatan Pendidikan negeri itu menumpukan kepada pemain berusia 13 tahun bagi diserap masuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Nenas di sini yang juga Akademi Bolasepak Terengganu.

Katanya, siri jelajah bagi pemilihan pemain akan dilakukan di kesemua lapan daerah dengan turut dibantu Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) dalam aspek kepakaran latihan.

“Matlamat program ini adalah untuk mencungkil lebih ramai Safawi dengan menyasarkan satu pasukan sehingga 20 pemain.

“Kesemua yang terpilih akan ditempatkan di sekolah ini bermula di tingkatan satu bagi membolehkan mereka mengikuti modul latihan yang dirangka panel kejurulatihan dan jawatankuasa program,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program itu di SMK Bukit Nenas hari ini.

Inisiatif yang julung kali diadakan itu susulan kejayaan anak kelahiran Dungun, Safawi, yang berkelana ke Eropah selepas menerima asuhan awal di sekolah tersebut.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan negeri, Salim Ab. Ghani berkata, kaedah kali ini lebih sistematik dengan penglibatan semua pihak dan pihaknya yakin akan mendapat hasil positif pada masa akan datang.

“Jika sebelum ini permohonan masuk ke SMK Bukit Nenas dibuat pelajar tetapi kali ini kita yang akan mencari bakat-bakat baharu itu.

“Sekiranya Safawi boleh berjaya hingga dilamar kelab Portugal, saya yakin kita boleh mencungkil lebih ramai Safawi di seluruh negeri dan mengumpulkan mereka di sini,” katanya.