Daniel Gooi, bersemangat besar bangunkan Padang Lalang

Daniel Gooi, bersemangat besar bangunkan Padang Lalang

DANIEL Gooi (kanan) aktif turun padang bertemu dengan masyarakat di kawasan DUN Padang Lalang bagi mendengar sendiri masalah mereka. – mingguan/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Daniel Gooi atau nama penuhnya Gooi Zi Sen bukan asing dalam kalangan masyarakat Pulau Pinang. Dia pemimpin muda yang tidak hanya berbicara soal dasar, tetapi juga turun padang menyantuni rakyat dengan pendekatan mesra dan praktikal. Rentak kerjanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Lalang dan juga kini berada bersama barisan Exco pentadbiran kerajaan Pulau Pinang membuktikan usia bukan penghalang untuk berbakti sepenuh hati.

 

DANIEL Gooi antara pemimpin muda di Pulau Pinang yang aktif dengan gaya kepimpinan bertemu dengan masyarakat.Pemuda berusia 38 tahun ini bukan sekadar seorang wakil rakyat, tetapi juga memegang amanah besar sebagai Exco Belia, Sukan dan Kesihatan negeri.

Portfolio yang digalasnya itu mencerminkan tahap idealisme dan tenaga anak muda yang mahu mengangkat martabat negeri ke tahap yang lebih tinggi.


 

BIODATA Daniel Gooi Zi Sen
Tarikh lahir: 11 Jun 1987
Umur: 38 tahun
Tempat lahir: Bukit Mertajam
Jawatan kini:
 ADUN Padang Lalang  Exco Belia dan Sukan serta Kesihatan Pulau Pinang
Jawatan terdahulu:
 ADUN Pengkalan Kota (2018–2023)
Pendidikan: Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam bidang Pelancongan

————————————————————————————-

Menurut Daniel, sebelum menjadi ADUN bagi Padang Lalang, dia pernah menjadi ADUN Pengkalan Kota dari tahun 2018 hingga 2023 dan merupakan wakil rakyat termuda pada ketika itu.

Kini, bagi penggal kedua, katanya, dia diberi mandat untuk mewakili kawasan DUN Padang Lalang dan terus mengorak langkah untuk memberikan sumbangan yang terbaik kepada rakyat.

“Pengalaman menjadi ADUN selama dua penggal membolehkan saya memahami keperluan rakyat secara lebih mendalam dan menyesuaikan pendekatan politik dengan realiti setempat. Kepimpinan yang inklusif dan berteraskan khidmat masyarakat menjadi teras perjuangan saya sejak awal pembabitan dalam politik bersama DAP,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

Bercakap mengenai misi dan visinya Daniel berkata, beliau dan pasukannya sentiasa bekerja keras untuk memastikan kawasan itu kekal sebagai komuniti yang selesa untuk didiami.

“Kami mahu Padang Lalang terus berkembang maju dari segi pembangunan fizikal dan sosial. Kami juga mahu bina satu komuniti yang bersatu hati serta sejahtera dari segi ekonomi dan kualiti hidup,” katanya.

Menurut beliau, segala pencapaian yang dilakar tidak mungkin berlaku tanpa bimbingan dan tunjuk ajar daripada pemimpin lain yang lebih berpengalaman.

“Saya banyak belajar daripada Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam. Bagi saya, perjuangan membangunkan masyarakat bukanlah usaha individu, tetapi, usaha bersama,” jelasnya.

Mengulas mengenai isu utama yang dihadapi penduduk di Padang Lalang pula, Daniel mengakui masalah banjir merupakan antara aduan utama yang sering diterimanya.

“Antara kawasan yang sering terjejas adalah Kota Permai dan Permai Jaya. Kami mengenal pasti punca masalah dan sedang berusaha mencari penyelesaian secara jangka panjang.

“Projek tebatan banjir di Jalan Tembikai telah pun dimulakan sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan risiko banjir di kawasan tersebut. Bagi projek di Kota Permai dan Permai Jaya pula, permohonan kerja sudah dibuat dan kami akan pantau perkembangan dari semasa ke semasa bersama pihak JPS dan MBSP,” ujarnya.

Selain memberi fokus kepada masalah setempat, Daniel berkata, dia turut memberi perhatian terhadap pembangunan semula infrastruktur awam bagi keselesaan rakyat.

“Pada masa ini, Kompleks Pasar Awam Bukit Mertajam sedang menjalani proses pembangunan semula. Selain itu, Kolam Renang di Kompleks Sukan Jalan Betik juga akan dinaik taraf. Projek-projek ini adalah sebahagian daripada usaha menjadikan Bukit Mertajam sebagai pusat tumpuan yang selesa dan mesra rakyat,” katanya.

Satu lagi perancangan jangka panjang yang sedang diusahakan ketika ini adalah pembangunan semula Hospital Bukit Mertajam yang kini telah berusia 135 tahun.

“Saya bersyukur kerana Jawatankuasa Tanah Kementerian Kesihatan telah meluluskan penggunaan tanah BM Resthouse untuk pembangunan blok baharu hospital tersebut.

“Ini antara sebahagian usaha yang ingin saya realisasikan bagi memastikan warga Padang Lalang dapat menikmati perkhidmatan terbaik,” katanya.

Sebagai Exco yang bertanggungjawab terhadap portfolio Belia dan Sukan pula, Daniel turut memberi penekanan terhadap pembangunan bakat muda.

“Pulau Pinang meraih 41 pingat emas, 39 perak dan 50 gangsa di Sukan Malaysia (Sukma) 2024. Ia menunjukkan negeri ini berpotensi untuk melahirkan lebih ramai atlet bertaraf antarabangsa,” jelas beliau.

Menurut Daniel, usaha pembangunan atlet kini diteruskan menerusi pelbagai skim dan program termasuk Skim Bantuan Elaun Insentif Galakan Prestasi serta Penang Career Athlete & Education (PACE).

Terbaharu, kerajaan negeri memperkenalkan Skim Sukan Awam Pulau Pinang 2030 (SAP2030) yang memberi penghargaan terhadap pencapaian atlet tempatan dalam kejohanan bukan bertemasya.

Katanya, meskipun Pulau Pinang merupakan sebuah negeri kecil dengan populasi sekitar 1.8 juta, namun, semangat juang dalam arena sukan cukup membanggakan.

“Kita pernah melahirkan beberapa atlet legenda seperti Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol Ann David.

“Saya yakin kita mampu ulangi kejayaan ini dengan sokongan semua pihak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN