MUNCUL antara kapten terbaik dimiliki skuad Harimau Malaya, Safiq Rahim mula menceburi bidang perniagaan sejak menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan membuka kafe SR8 yang menjual makanan barat di Johor.
Bagaimanapun, perniagaan makanan itu terpaksa ditutup atas sebab-sebab tertentu dan kini Safiq berubah angin dengan memilih produk sukan dengan menghasilkan jenama sendiri iaitu Sportsrevo yang diasaskannya sejak 2019.
Langkah pertama diambil dengan membuka sebuah cawangan di pusat beli belah Malakat Mall Cyberjaya bagi memasarkan produk sukan berkenaan dan satu lagi cawangan baru dijangka akan dibuka di Bangi dalam masa terdekat.
Bapa kepada tiga orang cahaya mata bersama isterinya Zandra Aziela Ibrahim Hakimi mengakui penglibatan dalam bidang perniagaan bukan sesuatu yang mudah dan terpaksa berdepan pelbagai cabaran.

“Jenama ini baru bertapak setahun, Di negara kita sebenarnya belum ada produk sukan keluaran jenama tempatan dari atas sampai bawah. Jadi saya mahu ia menjadi pelopor kepada usaha itu.
“Saya akan lebih agresif untuk mengembangkan jenama ini. Kerjaya bola sepak tetap diteruskan selagi ada pasukan masih mahu saya bermain dengan mereka.
“Perniagaan pertama adalah kedai makan…cabaran yang dihadapi sebagai ahli perniagaan ini sentiasa ada pasang surutnya tetapi yang penting kita kena berani dan jangan malu mencari pengalaman contoh bertanya dan belajar dari orang lebih berpengalaman.
“Sudah tentu kita mahu yang terbaik dalam perniagaan tapi kepahitan pun perlu kena rasa. Macam-macam kemanisan dan kepahitan yang akan kita alami.
“Cuma jika berdepan masalah atau sebagainya kita kena tahu cara mengendalinya, paling penting jangan cepat putus asa,” katanya.

SAFIQ RAHIM
——————–
Tarikh lahir: 5 Julai 1987
Tempat lahir: Kuala Selangor, Malaysia
Ketinggian: 1.67 meter
Sukan: Bola sepak
Kelab: Melaka
Isteri: Zandra Aziela Ibrahim Hakimi
Anak: Tiga
Perniagaan: Barangan sukan, kafe, malt
Ditanya adakah pernah ditipu sejak menjalankan perniagaan, Safiq mengakui masih bernasib baik dan berharap dijauhkan daripada perkara tersebut.
“Alhamdulillah setakat ni belum lagi ditipu..semoga sentiasa dilindungi,”ujarnya.
Tambah pemain berusia 33 tahun itu, berkata semua sedia maklum bahawa jangka masa sebagai pemain bola sepak ini tidak bertahan lama jadi ada baiknya untuk semua pemain memikirkan sesuatu kerjaya yang mampu menjamin masa depan selepas bersara.
“Kita sebagai pemain bola ada tempoh masanya. Jadi mungkin sudah sampai masa saya untuk belajar menceburi bidang lain jadi saya memilih perniagaan untuk kerjaya seterusnya
“Saya juga merancang untuk menubuhkan akademi bola sepak dengan kerjasama Kumpulan
Brainy Bunch bagi melahirkan bakat muda serta membantu bekas-bekas pemain profesional untuk mencurahkan pengalaman yang ada bagi perkembangan bolasepak negara,” katanya.

“Kepada pemain bola sepak di luar sana termasuk saya balas balik kepercayaan yang diberikan kepada kita sehabis baik kerana imbuhan setimpal akan diterima kelak. Jangan lupa sentiasa beringat supaya kita terus mengukir senyuman pada masa hadapan.”










