Main bawah 23 pun Okay - Utusan Malaysia

Main bawah 23 pun Okay

SAFAWI Rasid (kanan) beraksi bersama skuad Portimonense Bawah 23 di Portugal kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Biarpun tidak membuat penampilan bersama pasukan senior, namun Safawi Rasid teruja diturunkan bersama skuad bawah 23 tahun (B-23) Portimonense SC dan merasai pengalaman bola sepak Eropah.

Safawi, 23, pada awalnya diberi harapan beraksi dalam Liga Primeira menentang Maritimo semalam, namun dia sebaliknya diturunkan dalam Liga Revelacao yang menyaksikan mereka kalah 1-3.

“Di sini perbezaan corak permainan sangat ketara, ia lebih laju dan teknik tinggi. Fizikal juga semua berbeza dan perlu buat keputusan dengan cepat.

“Ini permulaan yang baik buat saya walaupun bermula dengan pasukan bawah 23 tahun.

“Masih banyak yang perlu dipelajari terutama menyesuaikan diri dengan cuaca dan corak permainan.

“Secara keseluruhan saya kurang berpuas hati dengan aksi semalam biarpun gagal membantu pasukan menang tetapi ia pengalaman berharga,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Dalam perlawanan itu, Portimonense tewas biarpun terlebih dahulu membuka tirai jari­ngan pada minit ke-18 menerusi Romula.

Malah mereka terpaksa menutup saingan dengan 10 pemain selepas Sergio Santos dibuang padang di minit ke-89.

Safawi, 23, turut diberi kepercayaan membarisi kesebelasan utama sebelum diganti dengan Felipe Dini pada minit ke-56.

“Perjalanan jauh lagi dan saya masih cuma menyesuaikan diri.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, matlamat utama adalah merebut tempat dalam kesebelasan skuad utama.

“Mungkin peluang itu akan hadir selepas ini. Perkara paling penting sekarang saya kena cepat menyesuaikan diri, beri aksi terbaik supaya jurulatih yakin dengan kemampuan dimiliki,” katanya.

Pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu beraksi bersama kelab Portimonense SC secara pinjaman dan dijangka diturunkan dalam perlawanan seterusnya menentang Tondela pada 24 Oktober nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×