KOTA BHARU: Pada Ogos lalu, Kelantan pernah meminta Liga Malaysia (Liga M) dibatalkan kerana pening hendak menampung kos, selain membayar tunggakan gaji pemain serta pegawai.
Bagaimanapun selepas 3 September iaitu sejak The Red Warriors (TRW) diambil alih oleh Norizam Tukiman, Kelantan bukan sahaja tidak lagi berdepan isu tunggakan gaji, malah menerima bayaran lebih awal.
Ketika Piala Malaysia belum bermula dan saingan musim ini hanya akan berakhir pada November, Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham sudah membayar gaji pemain sehingga akhir musim.
Selain itu, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga sudah dijelaskan.
Pemain Kelantan kini boleh mengharungi kempen Piala Malaysia dengan hati tenang dan penuh bersemangat.
“Saya optimis Kelantan mampu melangkah lebih jauh dalam saingan itu nanti.
“Harap pemain dapat memberi persembahan terbaik sebagai tanda terima kasih atas usaha yang telah dilakukan pemilik Kelantan FC,” kata Pengurus Operasi TRW Sdn. Bhd Jamilulail Jamiludin kepada Utusan Malaysia semalam.
Jamilulail berkata, pendekatan itu juga mampu meningkatkan motivasi pemain menjelang Piala Malaysia yang bermula 25 Oktober.
“Ini antara usaha yang kita ambil bagi memastikan kebajikan pemain Kelantan FC terbela.
“Secara tidak langsung ia membuktikan kesungguhan Zamsaham untuk memastikan Kelantan FC bebas dari bebanan hutang yang boleh memberikan impak negatif pada nama baik pasukan,” katanya.
Dari pasukan yang menghuni zon penyingkiran, Kelantan menutup kempen Liga Perdana di tempat kelima, sekali gus layak ke Piala Malaysia.










