fbpx

27 Oktober 2020, 8:53 pm

  TERKINI

Benteng rapuh resahkan Chelsea

REAKSI pertahanan Chelsea, Andreas Christensen (dua dari kanan) dan penjaga gol, Kepa Arrizabalaga (dari kiri) selepas perlawanan menentang Southampton di London malam tadi. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Benteng rapuh sekali lagi menjadi kebimbangan pengurus Chelsea, Frank Lampard selepas pasukannya sekadar seri 3-3 dengan Southampton dalam aksi Liga Perdana Inggeris malam tadi.

Blues menerima kunjungan Southampton dengan penuh bersemangat selepas membenam Crystal Palace 4-0 dalam perlawanan terakhir liga, 3 Oktober lalu.

Bagaimanapun beberapa kesilapan pertahanan menyebabkan mereka keciciran mata, terutama selepas membenarkan Jannik Vestergaard meledak gol penyamaan Southampton pada waktu kecederaan.

“Selepas mendahului dua gol, kami sepatutnya boleh menamatkan permainan tetapi itu tidak berlaku. Kalau pertahanan kami terus bermain seperti ini, ia pasti tidak bagus,” kata Lampard.

 

PERTAHANAN Chelsea, Kurt Zouma menjatuhkan penyerang Southampton, Shane Long dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, London hari ini. – AFP

 

Penyerang Jerman, Timo Werner meledak gol pertamanya dalam Liga Perdana Inggeris selepas dua jaringannya meletakkan Chelsea mendahului 2-0 pada minit ke-15 dan 28.

Penyerang England, Danny Ings bagaimanapun merapatkan jurang buat Southampton pada minit ke-43.

Chelsea kemudian dihukum akibat kesilapan Kurt Zouma dan penjaga gol, Kepa Arrizabalaga yang menyaksikan Che Adams mengikat kedudukan 2-2 pada minit ke-57.

Kai Havertz kembali meletakkan Chelsea di depan dua minit kemudian namun tandukan Vestergaard yang berpunca daripada kelemahan benteng tuan rumah menafikan tiga mata buat Blues.

Chelsea hanya melakar dua kemenangan daripada lima perlawanan liga setakat ini, namun apa yang paling membimbangkan Lampard, pasukannya sudah dibolosi sembilan kali.

“Gol kedua jelas satu kesilapan. Kami tidak boleh terus melepaskan jaringan seperti itu.

“Dia (Kepa) kena lebih mantap. Itulah yang diperlukan oleh pasukan elit dalam liga seperti ini, seorang penjaga gol yang mampu berdepan situasi sukar.

“Dia mendapat sokongan saya dan rakan-rakan sepasukan, cuma agak menyedihkan dia melakukan kesilapan selepas turut menyelamatkan pasukan dalam beberapa situasi bahaya,” kata Lampard.

Selepas tamat lima perlawanan, Chelsea kini menghuni tangga keenam liga dengan mengumpul lapan mata. – AGENSI