Zamsaham memang 'gentleman' - Utusan Malaysia

Zamsaham memang ‘gentleman’

Mohd. Badhri Razdi berterima kasih kepada Zamsaham kerana melangsaikan semua hutang TRW.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Bekas kapten Kelantan, Mohd. Badhri Razdi ‘tabik’ kepada pemilik baharu The Red Warriors (TRW), Norizam Tukiman kerana mengotakan janji dengan melunaskan keseluruhan bayaran tunggakan gaji miliknya semalam.

Badhri atau lebih dikenali sebagi Piya berkata, itu membuktikan anak kelahiran Johor tersebut tidak bercakap kosong, sebaliknya mengotakan janji untuk ‘mencuci’ semua hutang lapuk yang membelenggu TRW sebelum ini.

“Sebagai bekas pemain yang pernah menabur bakti bersama TRW, saya bersyukur dan berterima kasih (kepada Zamsaham) di atas pembayaran ini.

“Begitu juga kepada semua pihak yang pernah bertungkus-lumus (barisan exco Persatuan Bola Sepak Kelantan) untuk melunaskan bayaran (hutang) sebelum ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.

Norizam yang mesra dipanggil Zamsaham semalam membuktikan beliau bukan ‘bercakap kosong’ apabila melunaskan semua hutang TRW meskipun baru tiga minggu menjadi pemilik pasukan.

Tindakan itu menunjukkan kesungguhan Norizam untuk mengembalikan reputasi TRW sebagai gergasi bola sepak tempatan selepas mengambil alih pasukan awal bulan ini.

Selain Piya, Khairul Fahmi Che Mat, Branden Gan, Flavio Beck Junior, Bruno Lopez, Alaeddine Bouslimi, Alessandro Celin, Seydi L. Imam, Mohd. Farish Shah Rosli, Amiridzwan Taj Tajudin dan Mohd. Nor Farhan Mohamad turut nenerima bayaran itu.

NORIZAM TUKIMAN

Barisan pegawai seperti Sathit Bensoh, Mohd. Hisham Jainuddin, Mohd. Hashim Mustapa dan Yusri Che Lah (masih berkhidmat bersama TRW ketika ini) turut termasuk dalam senarai itu.

Kesemua tunggakan hutang itu membabitkan nilai berjumlah RM2.4 juta.

Sementara itu, Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net) menyambut baik usaha Zamsaham mencuci hutang lapuk TRW itu.

Presidennya, Mohd. Nurul Md. Yusoh berkata, usaha itu wajar diberikan pujian kerana ia bukan satu tugas mudah.

“Saya tabik kepada Zamsaham kerana sanggup menjadi penyelamat TRW dengan membeli keseluruhan pegangan saham dalam pasukan itu.

“Ketika ekonomi dunia sedang berdepan krisis ekoran kesan pandemik Covid-19, namun Zamsaham sanggup pejam mata membeli TRW dan seterusnya mencuci semua hutang-hutang lapuk pasukan sebelum ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN