Sukma XX dianjak ke April - Utusan Malaysia

Sukma XX dianjak ke April

REEZAL Merican Naina Merican (dua dari kanan) bersama Onn Hafiz Ghazi (kiri), Rahim Nin serta moskot rasmi Sukma Johor 'Jimi' di Bangunan Datuk Jaafar Mohamad, Kota Iskandar hari ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia hari ini memutuskan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 yang ditangguhkan kepada awal Mac 2021 sebelum ini, dianjak kepada 2 hingga 10 April.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan turut mengumumkan, tarikh Para Sukma 2020 ditukar kepada 8 hingga 13 Mac.

Katanya, perubahan tarikh temasya dicapai selepas mengambil kira kedudukan 171 atlet bertanding yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada 1 hingga 9 Mac.

“Setelah meneliti apa yang dibentangkan Sekretariat Sukma XX Johor, jawatankuasa sebulat suara bersetuju Para SUKMA akan dikelolakan terlebih dahulu iaitu pada 8 hingga 13 Mac 2021 dan kemudian Sukma dari 2 hingga 10 April.

“Saya dan juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi akan mengadakan mesyuarat terakhir dalam penentuan tarikh penganjuran ini secara muktamad bulan Disember nanti,” kata Reezal dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pegawai Kewangan Negeri Johor Datuk A Rahim Nin.

Sukma Johor akan dilangsungkan di tiga daerah iaitu Johor Bahru, Muar dan Kota Tinggi.

Sebanyak 28 acara sukan akan berlangsung di Johor Bahru. Muar pula akan menempatkan sukan kanu, angkat berat dan silambam, manakala Kota Tinggi menjadi gelanggang buat sukan pelayaran serta berbasikal lebuh raya.

Selain medan pendedahan bakat baharu, Sukma XX juga dilihat sebagai pentas penting buat atlet memburu tempat dalam kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2021 di Vietnam.

Sebanyak RM467.9 juta dibelanjakan bagi menyiapkan fasiliti berkelas dunia serta menaik taraf kemudahan sedia ada.

Sementara sejumlah RM325.9 juta telah dibelanjakan oleh kerajaan negeri serta turut menerima peruntukan daripada kerajaan persekutuan berjumlah RM142 juta.

Antara gelanggang yang dinaiktaraf merangkumi Stadium Hoki Taman Daya, Pusat Akuatik Arena Larkin, Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya bagi sukan Wusyu, Akademi Majlis Kriket Johor di Mutiara Rini dan Sireh Park serta Iskandar Puteri bagi sukan berbasikal MTB.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya