fbpx

Quartararo kembali ‘terbayang’ gelaran dunia

PELUMBA Petronas Yamaha SRT, Fabio Quartararo meraikan kejayaan muncul juara Grand Prix Catalunya di Litar de Catalunya semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARCELONA: Fabio Quartararo kembali memasang impian untuk memburu kejuaraan MotoGP dunia musim ini selepas kemenangan ketiganya dalam Grand Prix (GP) Catalunya semalam membolehkan pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) merampas kedudukan pendahulu keseluruhan.

Pelumba Perancis itu kini mengumpul 108 mata hanya lapan mata mengatasi pencabar terdekat dari Sepanyol, Joan Mir yang menunggang untuk pasukan Team Suzuki Ecstar.

Jaguh Monster Energy Yamaha, Maverick Vinales (94 mata) serta Andrea Dovizioso dari pasukan Team Ducati MotoGP (84a) masing-masing di tempat ketiga dan empat selepas tamat lapan perlumbaan.

Quartararo, 21, memenangi dua perlumbaan pembukaan musim di Litar Jerez, Julai lalu tetapi sejak itu dia gagal menaiki podium dalam lima perlumbaan berikutnya.

“Saya tidak bermula baik, namun cuba melakukan pecutan di peringkat awal.

“Apabila berpeluang memintas pencabar lain, saya memanfaatkan peluang itu dengan sebaiknya sehingga membolehkan kami mencapai kemenangan.

“Saya amat bergelut bulan lalu selepas gagal menaiki podium sejak perlumbaan di Jerez. Ia bukan sesuatu yang mudah apabila perkara itu sering bermain di fikiran. Terima kasih kepada keluarga dan semua yang menyokong saya,” kata Quartararo.

Quartararo menampilkan persembahan cemerlang dan memenangi perlumbaan dengan catatan masa 40 minit 33.176 saat.

Mir dan rakan senegaranya, Alex Rins dari Team Suzuki Ecstar, masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat kedua serta ketiga.

rakan sepasukan Quartararo yang memulakan saingan dari petak pertama, Franco Morbidelli terpaksa berpuas hati di tempat keempat (40:36.022s) selepas dipintas di pusingan terakhir oleh kedua-dua pelumba Sepanyol itu. – AGENSI