Perak II lakar kemenangan sulung - Utusan Malaysia

Perak II lakar kemenangan sulung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Perak II memperoleh kemenangan pertama dalam Liga Perdana musim ini dengan bergaya apabila membenam Kuching FA 5-1 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung di sini hari ini.

Pertembungan dua pasukan tercorot itu menyaksikan tuan rumah lebih agresif menggempur kubu lawan sebaik sahaja wisel permainan dibunyikan.

Hasilnya, gol pertama Perak II diperoleh pada minit ke-15 apabila Khairul Asyraf Sahizah yang tidak dikawal dalam kawasan penalti merembat mengenai palang sebelum bola menerjah ke dalam gawang lawan.

Sebelas minit kemudian, Muhammad Nazmi Ahmad pula mudah menyempurnakan bola muntah penjaga gol pelawat, Mohd. Iqbal Mohd. Suhimi yang menepis rembatan Muhammad Syahir Bashah.

Jaringan kedua itu hadir selepas sepakan sudut ketiga berturut-turut diperoleh Perak II yang mana dua hantaran lintang sebelum itu hampir menghasilkan gol namun kecekapan Mohd. Iqbal berjaya menafikannya.

Memasuki babak kedua, pasukan tuan rumah tidak menunggu lama bagi menghasilkan jaringan untuk selesa mendahului tiga gol apabila Muhammad Adib Abdul Ra’op melakukan sepakan lencong dari luar kotak penalti selepas menerima hantaran Sacha Petshi pada minit ke-49.

Pasukan pelawat berjaya merapatkan kedudukan hasil jaringan Joseph Kalang Tie yang menyempurnakan rembatan Yuki Tanigawa yang gagal ditangkap kemas Shafiq Afifi Suhaimi, pada minit ke-54.

Tiga minit kemudian, giliran Perak II menambah jaringan apabila Muhammad Adib menanduk masuk lontaran jarak jauh oleh C. Suwarnaraj untuk kedudukan 4-1.

Sacha Petshi menambah derita Kuching FA apabila merembat masuk bola yang dikeluarkan pertahanan lawan daripada sepakan sudut pada minit ke-89 bagi membolehkan tuan rumah memperoleh tiga mata berharga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya