fbpx

25 Januari 2021, 6:24 pm

  TERKINI

P. Pinang berhati-hati jumpa JDT II

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG: Pulau Pinang mengambil langkah berhati-hati apabila bertemu Johor Darul Ta’Zim II (JDT II) dalam aksi Liga Perdana di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam esok.

Ketua Jurulatihnya, Manzoor Azwira Abd. Wahid berkata, kedua-dua posisi penyerang dan pertahanan Pulau Pinang perlu berusaha keras dalam perlawanan di tempat lawan itu sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah buat pasukan.

Menurutnya, keserasian dan tumpuan sepenuhnya ketika berdepan kubu lawan sememangnya menjadi kunci utama yang diterapkan Harimau Kumbang.

“Kami perlu lebih berhati-hati kerana rentak permainan mereka (JDT II) agak seimbang di setiap posisi. Harap pemain beraksi dengan cemerlang seperti perlawanan sebelum ini.

“Kemungkinan besar akan mengekalkan barisan pemain yang sama, namun saya yakin mereka dapat beraksi dengan cemerlang dan beri tumpuan pada perlawanan malam esok,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pasukannya belum selesa berada di tangga teratas liga berikutan jarak yang diperoleh hampir menyemai Kuala Lumpur dan Terenggganu II.

“Saya harap, perlawanan itu memberi peluang untuk kami memungut mata lebih jauh daripada pasukan-pasukan itu dan sekurang-kurangnya membawa balik satu mata sebagai bonus untuk pasukan.

“Jika dapat tiga mata, itu lebih bagus sekali gus dapat mempertahankan kedudukan carta dalam Liga Perdana. Impian kami juga adalah untuk kembali ke Liga Super pada musim depan,” ujarnya.

Dalam perlawanan Jumaat lalu, Pulau Pinang mengekalkan rekod tanpa kalah apabila melakar kemenangan bergaya 2-0 menewaskan Negeri Sembilan di Stadium Bandaraya Pulau Pinang di sini.

Pemain import dari Brazil, Anselmo Arruda Da Silva membuka tirai jaringan buat pasukan yang mendapat jolokan Harimau Kumbang pada minit keenam.