NEW YORK: Malang menimpa pemain tenis No. 1 dunia, Novak Djokovic apabila disingkirkan daripada Terbuka Amerika Syarikat (AS) kerana memukul bola ke arah penjaga garisan, hari ini.
Bintang Serbia itu sedang menentang pemain Sepanyol, Pablo Carreno Busta pada aksi pusingan keempat ketika dia memukul bola keluar di hujung set pertama.
Bola secara tidak sengaja terkena penjaga garisan wanita tersebut, yang kemudian dilihat terduduk sambil memegang tekaknya.
Djokovic kemudian meminta maaf kepada pegawai berkenaan sebelum mengadakan perbincangan lebih 10 minit dengan pengadil, Soeren Friemel.
Friemel memberitahu juara tiga kali itu, dia tidak punya pilihan kecuali membatalkan penyertaannya.
Djokovic, 31, yang menjadi pilihan utama untuk menjuarai Terbuka AS tahun ini kemudian meninggalkan gelanggang Arthur Ashe.
Situasi itu membuatkan sekumpulan pemain dan pegawai perlawanan berkumpul di satu sudut kerana keliru dengan apa yang berlaku.
Turut menonton perlawanan di studio Prime TV adalah bekas pemain Britain, Tim Henman yang pernah terlibat dalam situasi sama pada 1995 apabila terpukul bola ke arah penjaga garisan wanita.
“Pengadil perlawanan tidak punya pilihan kerana terpaksa mengikut peraturan,” kata Henman. – AGENSI