Basikal lebuh raya kembali bernafas - Utusan Malaysia

Basikal lebuh raya kembali bernafas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menarik nafas lega selepas menerima penajaan RM50,000 untuk Kejohanan Lebuh Raya Kebangsaan Malaysia, 18-20 September ini di sebalik pelbagai kemelut.

Paling menarik, kerajaan negeri Melaka turut berjanji akan menyalur bantuan kewangan bagi memastikan kejohanan itu yang diserahkan hak penganjurannya kepada Melaka pada saat terakhir berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md. Ali akan memperuntukan bantuan kewangan sekalipun kerajaan negeri berdepan pelbagai masalah akibat pandemik Covid-19 kerana Kejohanan Lebuh Raya Kebangsaan penting untuk sektor domestik tempatan.

“Saya akan pastikan ada bantuan diberikan kepada Kejohanan Lebuh Raya Kebangsaan 2020.

“Bagaimana saya mahu semua SOP (prosedur operasi standard) kerana dipatuhi Covid-19 masih berleluasa. Kita juga belum temui vaksin lagi,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan PKBM semalam.

Penajaan RM50,000 diserahkan semalam dan disaksikan oleh Sulaiman; Setiausaha Agung PKBM, Datuk Ashakari Abu Noor dan Pengarah Urusan Harp Tech Solution (M) Sdn. Bhd., Alvin Lim.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab gembira kerana masih ada pihak tampil memberi penajaan dan menyifatkannya umpama penyambungan talian hayat terbaharu buat persatuan.

“Kami rasa seolah-olah kembali bernafas. Sepanjang Covid-19 kami tidak dapat anjurkan sebarang kejohanan. Tiada kejohanan, bermakna kami tidak dapat punca pendapatan.

“Apabila bersetuju untuk anjurkan Kejohanan Lebuh Raya Kebangsaan, barulah kami sedar beban kewangan. Kita pilih Melaka kerana ia tawarkan laluan yang sesuai.

“Namun oleh kerana kejohanan itu mesti diadakan setiap tahun mengikut arahan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), kita kena teruskan penganjuran. PKBM mungkin didenda jika gagal (anjurkan),” katanya.

Sebagai rekod, Kejohanan Lebuh Raya Kebangsaan kali ini akan diadakan selama tiga hari bermula 18 September melibatkan acara lebuh raya, ujian masa individu dan ujian masa berpasukan.

Abu Samah yang juga Naib Presiden Kehormat Kesatuan Berbasikal Asia (ACC) turut meluahkan rasa bangga kerana PKBM mampu meneruskan tanggungjawab mengadakan kejohanan kebangsaan sesuai arahan UCI sekalipun tidak mempunyai kedudukan kewangan kukuh.

“Rasanya Kejohanan Lebuh Raya Kebangsaan Malaysia 2020 ini antara pertandingan sukan paling awal diadakan dalam era PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan).

“Justeru saya minta sokongan semua pihak bagi memastikan ia berjalan lancar,” katanya.

“Selain bola sepak, rasanya belum ada sukan lain yang dianjurkan mana-mana persatuan. Inilah cabaran getir yang digalas oleh kami. Harap agensi kerajaan sudi meringankan beban kami,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya