Malaysia destinasi terakhir MotoGP? - Utusan Malaysia

Malaysia destinasi terakhir MotoGP?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Khabar gembira buat peminat MotoGP tanah air, Dorna Sports bukan sahaja mempertimbangkan untuk meneruskan Grand Prix (GP) Malaysia tahun ini, malah mungkin memilih Sepang sebagai perlumbaan terakhir dalam kalendar Kejuaraan Motosikal Dunia 2020.

Perkara itu didedahkan oleh Prinsipal Petronas Yamaha SRT, Datuk Razlan Razali selepas tamat Grand Prix Andalusia di Jerez, Sepanyol, Ahad lalu.

Kedudukan Malaysia dalam kalendar MotoGP dunia bagaimanapun hanya akan diketahui, Jumaat ini apabila Dorna Sports, pemegang hak eksklusif ko­mersial dan televisyen perlumbaan membuat pengumuman.

Selain GP Malaysia, perlumbaan di Thailand dan Argentina juga belum diputuskan selepas kalendar 2020 dipinda susulan pandemik Covid-19.

“Itu (Malaysia perlumbaan penutup musim) adalah perancangan Dorna jika kita boleh menganjurkan MotoGP.

“Kalau itu menjadi kenyataan, ia sangat menarik sebab pasukan kita (Petronas Yamaha SRT) dalam kedudukan baik untuk merebut kejuaraan dunia.

“Harap pelumba kita dapat melakukan keajaiban. Saya percaya SIC (Litar Antarabangsa Sepang) juga akan buat yang terbaik untuk memastikan Malaysia dapat menganjurkan perlumbaan,” kata dalam sidang video kelmarin.

Razlan yang kini berada di Barcelona turut mengakui, agak janggal dan sunyi jika Petronas Yamaha SRT menjulang kejuaraan di Sepang tanpa penonton.

“Bagi kami, kalau ada penonton lagi bagus sebab berlumba di laman sendiri, di depan penyokong tempatan tetapi kalau tiada penonton macam mana nak buat.

“Apa pun menang tetap menang sama ada di depan penyokong atau tidak. Kita mungkin tidak merasai atmosfera tersebut tetapi apa nak buat. Yang penting, kita buat terbaik untuk pasukan Malaysia dan juga rakyat tempatan,” katanya.

Mengikuti jadual asal, GP Thailand sepatutnya diadakan pada 4 Oktober, diikuti Malaysia 1 November dan Argentina, 22 November.

Sementara itu, Razlan yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif SIC berkata, Petronas Yamaha SRT mahu melupakan memori indah di GP Sepanyol dan Andalusia, sebaliknya memberi fokus kepada GP Republik Czech dalam usaha memburu kejayaan hatrik.

“Marc Marquez mungkin akan kembali berlumba, tetapi mungkin tidak cergas 100 peratus, jadi kami mahu ambil peluang untuk menang.

“Menang hatrik itu hadiah, kalau tidak, menamatkan perlumbaan dengan podium itu paling minimum,” katanya.

Pelumba Petronas Yamaha SRT, Fabio Quartararo memahat sejarah menjuarai perlumbaan MotoGP pertamanya pada Grand Prix Sepanyol, 19 Julai lalu sebelum merangkul gelaran kedua di Jerez, Ahad lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya