fbpx

Kantung Kuala Lumpur makin tenat?

PEMAIN Kuala Lumpur tetap bersemangat menjalani latihan selepas ia disambung bulan lalu. - Gambar KLFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mana ada pemain mahu beraksi bersungguh-sungguh jika me­ngetahui kantung kewa­ngan pasukannya semakin tenat, malah keadaan tersebut pasti mengusutkan ‘kepala’ mereka di atas padang.

Menurut Presiden Felcra FC, Datuk Hazian Murad, beliau mendengar khabar bahawa kewangan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) semakin merosot dan mungkin boleh bertahan untuk membayar gaji pemain antara satu atau dua bulan sahaja.

Kata Hazian, andai khabar itu benar, maka beliau mengharapkan KLFA bertindak pantas untuk menyelesaikan masalah selain perlu memulakan pelan B.

“Saya ada dengar yang kewangan KLFA memang merun­cing, saya tidak tahu berapa lama boleh bertahan. Saya tidak pasti tetapi itu yang saya de­ngar.

“Kalau perkara ini berterusan, maka pihak pengurusan harus bertindak pantas mulai sekarang. Mungkin mereka boleh menghadap Menteri Wilayah Persekutuan (Tan Sri Annuar Musa) untuk minta sokongan. Saya tidak pasti, mereka yang perlu cari.

“Kalau betul gaji pemain boleh dibayar satu atau dua bulan lagi, anda pun boleh fikir macam mana mereka akan bermain nanti.

“Bermain ala kadar, hancur,” kata Hazian ketika ditemui pada program konvoi amal Persatuan Pemilik Kenderaan SL Mercedes Benz bagi mengumpul sumbangan kepada mereka yang terkesan dengan Covid 19 di Jalan Ampang baru-baru ini.

HAZIAN MURAD

Dalam pada itu, selaku ahli gabungan KLFA, Hazian mendesak agar Kongres ke-31 diadakan dengan kadar segera dalam usaha membaikpulih ‘ekonomi’ persatuan tersebut, sekaligus dapat meneruskan perjalanan dalam arena bola sepak negara.

“Pelbagai kelemahan dikenalpasti yang mengakibatkan hasil mengecewakan kepada ahli gabungan KLFA dan kami melihat mereka seperti mengabaikan suara dan hak ahli kelab gabungan.

“Saya berharap KLFA berlapang dada dan percepatkan tarikh pemilihan supaya kita dapat buat sesuatu dengan pengurusan baharu. Kita kena pandang semua sudut,” katanya.