MEMILIKI haiwan peliharaan sebagai peneman bukan sahaja menjadikan setiap hari lebih ceria.
Keletah ditunjukkan si manja itu juga dapat memberikan kebahagiaan kepada pencintanya.
Kucing merupakan haiwan yang sering menjadi pilihan utama kerana sifatnya yang manja dan mudah untuk dijaga.
Anis Wahidah Che Aziz, 30, berkata, dia membela tujuh ekor kucing daripada baka Ragdoll sejak empat tahun yang lalu.
Katanya, kecomelan dan keunikan Ragdoll berjaya menambat hatinya untuk memelihara kucing daripada baka berkenaan.
“Saya tertarik untuk memelihara kucing Ragdoll kerana wajahnya yang comel, matanya berwarna serta bulunya tidak terlalu panjang dan mudah dijaga.
“Saiz mereka juga tidak terlalu besar, sesuai untuk dijadikan haiwan peliharaan di rumah,” katanya.

KEUNIKAN RAGDOLL
Bercerita lebih lanjut, Anis berkata ketujuh-tujuh ekor kucing peliharaannya mempunyai corak dan warna menarik iaitu Seal Point dan Seal Bicolor.
Meskipun spesies ini kelihatan seakan sama namun secara realitinya setiap seekor mempunyai corak dan keunikan tersendiri.
“Apa yang paling unik tentang Ragdoll adalah warna mata mereka yang berwarna biru menawan, menyerlahkan lagi kecomelan kucing ini.
“Ragdoll adalah kucing yang senang untuk diajar. Mereka sangat pandai dan mendengar cakap. Pada masa yang sama, sangat manja dan baik.
“Uniknya juga, apabila kita dukung, badannya akan terus terkulai persis boneka sesuai dengan gelarannya Ragdoll,” jelasnya.
Antara nama yang diberikan kepada kucing peliharaannya adalah Kristoff, Marshmallow, Luna, Kyrie, Kyra, Aydan dan Adele.
Ketujuh-tujuh ekor kucing itu terbahagi kepada tiga peringkat umur. Ada yang sudah dewasa, di peringkat junior dan juga anak kucing.
PENJAGAAN RAPI
Sebagai seorang pencinta haiwan, Anis akan memastikan kebajikan kucing-kucingnya terjaga dan mereka diberikan penjagaan yang rapi serta teliti dari segi pemakanan mahupun kebersihan.
Kucing peliharaannya turut diberikan bilik khas dilengkapi pendingin hawa sesuai untuk habitat itu yang berasal dari negara sejuk.
“Saya akan pastikan kucingkucing dimandikan seminggu sekali atau sekurang-kurangnya tiga kali sebulan.
“Selain rutin membersihkan telinga, mata dan hidung mereka, saya juga akan sikat bulunya untuk memastikan ia terjaga elok dan mengelakkannya daripada bergumpal.
“Disebabkan mereka sangat aktif dan suka bermain, saya turut sediakan cat tree, treadmill dan mainan lain. Kadang-kadang, saya juga membawa mereka ke taman kucing atau festival kucing untuk bersosial,” ujarnya.
Tambah Anis, jangka hayat seekor kucing Ragoll, adalah di antara 12 hingga 18 tahun bergantung kepada cara penjagaannya.
“Sekiranya dijaga dengan baik dan mengutamakan keperluannya, kucing ini boleh hidup lama dan terhindar daripada penyakit yang boleh memudaratkannya,” tambahnya.
Daripada segi pemakanan pula, Anis memberikan kibble khas untuk memastikan bentuk badan dan bulu kucing terjaga di samping makanan tambahan seperti ayam rebus dan vitamin.
Diet seimbang mustahak dalam memastikan kesihatan kucing sentiasa berada dalam keadaan optimum.

KOS PENJAGAAN
Anis memperuntukkan perbelanjaan bulanan sekitar RM200 untuk seekor, yang membabitkan kos makanan, penjagaan kebersihan dan keperluan asas lain.
“Kos ini berbeza bergantung kepada jenis makanan dan rawatan tambahan diperlukan.
“Penjagaan kucing bukan sekadar memberi makan dan minum tetapi memerlukan komitmen masa, perhatian dan kasih sayang.
“Penjagaan yang betul, kucing mampu menjadi peneman setia dan membawa kebahagiaan dalam kehidupan pemiliknya,” katanya.










