Elak berdendam, bersihkan hati menjelang Syawal

Elak berdendam, bersihkan hati menjelang Syawal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bulan Syawal sering dikaitkan dengan amalan bermaaf-maafan. Tradisi ini bukan sekadar adat, tetapi juga peluang untuk memperbaiki hubungan yang mungkin renggang sebelum ini. Namun hakikatnya, memaafkan bukan sesuatu yang mudah. Ada kalanya kita mampu bersalaman dan tersenyum, tetapi jauh di sudut hati masih tersimpan rasa sakit yang belum benar-benar sembuh.

Dari sudut psikologi, memaafkan sebenarnya ialah proses dalaman untuk melepaskan kemarahan, dendam atau keinginan membalas terhadap seseorang yang pernah menyakiti kita. Ia bukan bermaksud kita menghalalkan kesalahan yang berlaku, sebaliknya memilih untuk tidak lagi membiarkan luka lama terus mengawal emosi dan kehidupan.

Pakar Psikiatri Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Farah Deena Abdul Samad berkata, menyimpan dendam terlalu lama boleh memberi kesan kepada kesihatan mental dan juga tubuh. Apabila seseorang sering mengingati peristiwa yang menyakitkan, tubuh akan bertindak balas seolah-olah ancaman itu masih berlaku.

Katanya, setiap kali pengalaman pahit itu diingat, badan boleh mengaktifkan respon stres. Hormon seperti kortisol dan adrenalin meningkat, menyebabkan tubuh berada dalam keadaan tegang dan berjaga-jaga. Jika keadaan ini berlarutan, seseorang mungkin mengalami keletihan emosi, sukar tidur dan rasa gelisah yang berpanjangan.

“Dalam psikologi, keadaan apabila minda terus berputar mengingat peristiwa lama dikenali sebagai ruminasi. Ia berlaku apabila seseorang berulang kali memikirkan sesuatu kejadian tanpa menemui penyelesaian emosi. Akibatnya, walaupun peristiwa tersebut sudah lama berlalu, emosi negatif masih terasa seolah-olah ia baru berlaku semalam.

“Tekanan emosi yang berpanjangan juga boleh memberi kesan kepada kesihatan fizikal. Kajian menunjukkan stres kronik boleh melemahkan sistem imun dan meningkatkan risiko masalah seperti tekanan darah tinggi, penyakit jantung serta gangguan kemurungan dan keresahan. Dalam konteks ini, memaafkan boleh membantu mengurangkan beban emosi yang berkait dengan memori tersebut,” katanya.

Beliau berkata, memaafkan tidak bermaksud melupakan apa yang telah berlaku. Memori pengalaman pahit biasanya kekal dalam ingatan sebagai bentuk perlindungan diri agar kita lebih berhati-hati pada masa hadapan. Bezanya, apabila seseorang benar-benar memaafkan, memori itu tidak lagi mencetuskan emosi yang terlalu kuat seperti dahulu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN