DALAM suasana sambutan Hari Kemerdekaan ke-67, Zuraini (bukan nama sebenar), merenung kembali perjalanan hidupnya dengan penuh rasa syukur .
Hari kemerdekaan bukan sahaja melambangkan kebebasan negara, tetapi juga memberi makna dalam hidupnya.
Ini selepas dia bebas daripada perkahwinan toksik yang memenjarakan dirinya selama bertahun-tahun.
Zuraini saya hubungi baru-baru ini mengakui dia kini menjalani kehidupan lebih tenang dan bahagia selepas keluar daripada hubungan toksik, dua tahun lalu.
Dia kini bebas daripada segala bentuk penindasan, kawalan dan manipulasi emosi yang berlaku dalam hubungan tersebut.
Berkongsi cerita, akuinya selama ini dia hidup dalam perkahwinan yang hanya kelihatan sempurna di mata masyarakat.
Suaminya, Razi (bukan nama sebenar) seorang yang dikenali ramai dan berkarisma.
Namun di sebalik perkahwinan itu, Razi adalah seorang suami yang sangat mengawal dan toksik.
Pada awal perkahwinan, Zuraini mempunyai harapan tinggi untuk membina keluarga bahagia bersama lelaki dicintai.
Namun memasuki usia tiga tahun perkahwinan mereka, sikap sebenar Razi terserlah.
Razi mempunyai tabiat suka mengawal, memarahi dan memperlekehkannya setiap kali dia melakukan kesalahan kecil.
“Bekas suami selalu ingin tahu di mana saya berada, dengan siapa saya bertemu dan apa yang saya lakukan.
“Awalnya, saya tidak berasa apa-apa. Lama-kelamaan, kelakuannya itu bertukar menjadi sikap yang keterlaluan dan merimaskan,” katanya.
Sambung wanita berusia pertengahan 40-an itu, dia bukan sahaja tidak dibenarkan bekerja, bahkan tidak boleh keluar rumah tanpa izin dan selalu dikritik tentang penampilan, pemikiran dan tindakannya.
Setiap kali cuba bersuara atau menyuarakan pendapat dia akan dimarahi.
Bekas suaminya itu cuba memanipulasi perasaannya. Mengancam dan menuduhnya dengan pelbagai tuduhan.
Selama berpuluh-puluh tahun dia hidup dalam ketakutan dan kesakitan. Dia berasakan bahawa dia terperangkap dalam hubungan yang tidak ada jalan keluarnya.
“Pada awalnya saya cuba bertahan demi anak-anak. Saya juga berfikir mungkin keadaan Merdeka daripada perkahwinan toksik akan berubah dan suami akan kembali menjadi lelaki penyayang seperti dahulu.
“Namun ia tidak seperti yang saya bayangkan dan semakin teruk,” ujar Zuraini.
Razi menjadi lebih agresif, sering memarahinya tanpa mengira tempat dan waktu terutama di hadapan anak-anak mereka.
Sehari, memasuki minggu, minggu memasuki tahun, sikap bekas suaminya itu tidak pernah berubah.
Sehinggalah suatu hari, Zuraini memutuskan untuk mencari bantuan dengan menghubungi rakan baiknya, Annie (bukan nama sebenar) secara senyapsenyap.
“Dengan sokongannya, saya mula mengumpulkan keberanian untuk melarikan diri ke pusat perlindungan wanita.
“Namun ia tidak bertahan lama selepas bekas suami berjaya mengesan keberadaan saya dan anak-anak. Setelah dipujuk, saya jadi lembut hati dan kembali semula kepadanya,” ujarnya.
Menurut Zuraini, tindakannya keluar rumah itu dilakukan sebanyak tiga kali.
Kemuncak kepada hubungan toksik itu apabila pada suatu hari bekas suami sudah berani melakukan kekerasan fizikal.
“Apabila bekas suami sudah berani memukul, saya kir hubungan itu sudah melampaui batas dan saya perlu melindungi diri saya dan anak-anak,” katanya.
Setelah berbincang dengan Annie, dia mengatur strategi untuk keluar dari rumah, ketika suami bertugas di luar daerah.
Dia membawa bersama ketiga-tiga anak mereka dan berpindah ke pusat perlindungan wanita . Di sana dia diberi kaunseling dan khidmat nasihat. Tidak lama kemudian dia memfailkan perceraian.
“Alhamdulilah dengan sokongan kawan-kawan dan ahli keluarga saya berjaya memulihkan diri,” katanya. Selepas melalui proses perceraian, Zuraini merasa beban berat, diangkat dari bahunya.
Pertama kalinya dalam bertahun-tahun hidupnya, dia merasakan kebebasan sejati.
Dia kini boleh bangun pagi tanpa rasa takut atau tertekan, boleh membuat keputusan sendiri tanpa mendapatkan persetujuan atau menghadapi kritikan yang menyakitkan.
Bahkan dia juga boleh menikmati kebebasan untuk membuat keputusan sendiri, mengejar minat dan hidup tanpa rasa takut.
Dia memulakan kehidupan baru dengan penuh semangat dan keazaman.
Dia berjaya mendapatkan pekerjaan stabil dan kembali berhubung dengan keluarga dan kawan-kawan yang telah lama terputus.
Kisah Zuraini, memberi pengajaran bahawa merdeka bagi wanita yang menderita dalam perkahwinan bukan sahaja soal berpisah daripada suami yang menindas, tetapi juga keberanian untuk bangkit semula.
Bahkan menyembuhkan diri dan membina kehidupan baharu.
Kisah ini juga membuktikan pentingnya sokongan masyarakat dan keluarga dalam proses pembebasan dan pemulihan.
Kini dia bebas daripada belenggu ketidak adilan, kawalan dan penindasan yang selama ini menghalangnya daripada hidup dengan bebas dan bermaruah.
Zuraini kini menjadi penasihat untuk wanita yang mengalami nasib serupa.
Dia sering berkongsi kisahnya di media sosial untuk membantu wanita lain yang terperangkap dalam hubungan toksik untuk mencari jalan keluar.
Kisah Zuraini adalah peringatan bahawa kemerdekaan boleh menjadi sangat peribadi dan penuh makna, terutama mereka yang telah melalui penderitaan emosi dan psikologi dalam hubungan. Kebebasan itu sangat berharga dan layak diperjuangkan, walaupun jalannya sukar.
Sesungguhnya Allah SWT menjadikan perasaan kasih mesra antara suami isteri sebagai satu sunnah yang ada padanya tanda kekuasaan dan keagungan. Ini sebagaimana firmanNya bermaksud: Dan antara tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri daripada diri kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan antara kami perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan yang menimbulkan kesedaran bagi orang ka r. (Ar-Rum:21)










