Dalam rumah tangga, keseimbangan peranan antara suami isteri amat penting.
Ini bagi menjamin keharmonian mahligai yang dibina.
Namun, ada ketikanya peranan itu menjadi pincang apabila isteri mendominasi, manakala suami pula semakin ‘hilang suara’ dalam rumah tangga sendiri.
Isteri mula mengambil alih segala peranan hingga suami tidak lagi dihormati.
Minggu ini saya kongsikan kisah Mustakim (bukan nama sebenar) yang akhirnya memilih melepaskan isterinya, bukan kerana benci tetapi demi menjaga maruah diri.
Dalam kiriman emelnya, lelaki berusia awal 40 tahun ini berkata, perkahwinan yang diharapkan bahagia tidak kekal hingga ke penghujung.
Bercerita lanjut, tulis Mustakim dia dan Rose (bukan nama sebenar) berkahwin selepas enam bulan bercinta.
Rose lima tahun lebih tua. Berjawatan besar, bergaji tinggi di samping cantik, bijak dan ramai lelaki cuba mendekatinya.
“Pada awalnya, saya bimbang keluarganya tidak menerima kerana jurang antara kami. Pekerjaaan saya hanya sebagai pemandu e-hailing. Gaji cukup-cukup dan hidup sederhana. Tetapi, Alhamdulilah dia dan keluarganya menerima saya,” tulisnya.
Berkongsi kisah di awal perkenalan, kata Mustakim, dia mengenali bekas isteri secara kebetulan dalam majlis perkahwinan adik kawan baiknya.
Mereka bertukar nombor telefon dan selepas itu kerap berhubung. Sesekali mereka keluar janji temu.
Selepas persetujuan dua belah pihak, mereka disatukan dalam majlis yang sederhana tetapi meriah.
“Kami berjanji untuk saling melengkapi kekurangan yang ada. Berbeza usia dan pendapatan bukan ukuran, tetapi keikhlasan serta saling menghormati,” tulisnya.
Tahun pertama perkahwinan berjalan lancar, namun masuk tahun kedua, bekas isteri mula berubah sikap.
Sibuk dengan kerja dan sering pulang lewat malam.
“Saya cuba memahami yang isteri berjawatan tinggi, jadi tentunya selalu sibuk.
“Sebagai suami saya bantu semampunya termasuk mengurus rumah tangga, makan minum dan sesekali menghantar serta mengambilnya dari pejabat,” ujarnya.
Memasuki tahun ketiga perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata.
Tulis Mustakim, dia menyangka kehadiran Maria (bukan nama sebenar) dapat melembutkan hati isteri dan sedar akan kepentingan sebuah keluarga yang saling menghormati, tetapi dia silap.
Sikap angkuh isteri makin menjadi-jadi. Dalam perbualan, suara isteri lebih lantang, malah setiap keputusan rumah tangga, dia tidak pernah ditanya.
Atas permintaan isteri, Mustakim berhenti kerja dan menjaga anak mereka.
“Saya ubah rutin harian, dulunya bangun pagi untuk mengejar booking dan sudah lali dengan hujan panas serta kesesakan lalu lintas kepada menguruskan rumah tangga sepenuhnya.
Daripada menyediakan sarapan, kemas rumah sehingga menguruskan anak kecil mereka. Hari demi hari, Mustakim melalui kehidupan sebagai suami dan bapa.
Di awalnya, semua nampak baik-baik, tetapi lama-kelamaan, dia mula rasa kurang senang dengan tingkah laku isteri.
Isterinya sudah pandai merendah-rendahkannya di depan keluarga dan kawan- kawan, malah paling mengejutkan di media sosial. Status yang dikongsi banyak memperlekehkan dirinya sebagai suami.
Dia cuba menegur dan menasihati isteri dengan lembut, namun setiap teguran disambut sinis.
Sehinggalah pada satu hari tahap kesabaran sampai ke kemuncak selepas isteri menjerkah anak kecil mereka yang ketika itu cuba untuk mendekati dan bermanja dengannya.
Mustakim tidak meminta isteri berubah sepenuhnya. Cukup sekadar menghormatinya sebagai suami dan ketua keluarga.
“Apabila semuanya sia-sia, saya ambil keputusan berat melepaskannya dan mengundur diri,” ujarnya.
Semua itu disimpannya di dalam dada. Dia tidak pernah bercerita dengan sesiapa.
Tambah Mustakim, orang luar nampak mereka pasangan ideal. Sama cantik, sama padan dan bahagia.
Hakikatnya, dia mula terperangkap dalam hubungan tidak bahagia.
Titik akhir kesabaran Mustakim apabila dia terpaksa memilih jalan pahit iaitu perceraian.
Cerai dilafazkan pada pertengahan 2018.
“Bukan saya tidak sayangkannya, tetapi saya sudah tidak sanggup terus hidup dalam hubungan yang semakin hambar.
“Saya juga memilih untuk berpisah kerana mahu menyelamatkan Maria daripada membesar menyaksikan bapa tidak dihormati ibu sendiri,” tulisnya.
Maria diletakkan di bawah jagaannya selepas persetujuan dibuat dengan Rose.
“Ramai yang terkejut kerana saya memilih untuk menjaga Maria. Tetapi saya yakin, saya lebih mampu memberi apa yang diperlukan Maria.
“Mungkin dari segi kemewahan saya tidak setanding Rose, tetapi kasih sayang tidak pernah berkurang,” tulisnya lagi.
Selepas perceraian, hidup Mustakim berubah 360 darjah. Dia kembali meneruskan pekerjaan sebagai pemandu e-hailing dan dalam masa sama berniaga online.
Melihat Maria membesar di depan mata memberi kekuatan kepadanya.
Pada Jun ini, usia Maria genap tujuh tahun. Dalam tempoh itu dia masih bergelar bapa tunggal.
Kata Mustakim, dia tidak pernah memisahkan Maria daripada bekas isterinya.
Malah, Rose tetap mengirimkan wang untuk Maria pada setiap bulan.
Bekas isterinya itu masih sibuk mengejar kerjaya seperti dahulu, malah pencapaian demi pencapaian diraih.
Dalam emel itu lagi, Mustakim turut menulis dia tidak pernah memburukkan bekas isteri di depan anak mereka.
“Apapun terjadi antara kami, dia tetap ibu kepada anak saya,” tulisnya.
Kisah Mustakim itu adalah antara realiti yang dihadapi sebahagian daripada suami di luar sana.
Tulisnya, walaupun perkahwinan mereka gagal, Mustakim dan Rose masih cuba memainkan peranan masing-masing.
Sesungguhnya, dalam kehidupan berumah tangga, seorang isteri wajib mentaati suami.
Kedudukan suami, bukan sekadar pemberi nafkah, tetapi juga pelindung dan layak untuk dihormati.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda, maksudnya, “Jika seorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada bulannya, (Ramadan), mengawal kemaluannya, (maruahnya), taat kepada suaminya. Masuklah dia ke dalam syurga dari mana-mana pintu yang dikehendaki.”










