GEMUK atau mempunyai badan bersaiz besar besar pasti memberi pukulan hebat buat individu yang merasainya. Malah timbul pula rasa rendah diri yang menebal dan kurang keyakinan berdepan dengan orang lain apabila kerap dibanding-bandingkan.
Situasi ini pernah dirasai oleh ibu kepada tiga anak, Adawiyah Yaismy A. Wahab, 39.
Adawiyah memiliki berat 110 kilogram (kg) pada 2019 sebelum dia memulakan senaman dan mengamalkan pemakanan sihat sehingga turun 33kg dalam tempoh setahun lebih.
Daripada saiz pakaian 50 iaitu 4XL, kini Adawiyah boleh tersenyum puas dengan saiz pakaian 38 iaitu M dengan berat 77kg.
Mengimbas zaman gemuk, Adawiyah berkata, badannya mula membesar tahun demi tahun adalah selepas dia bersalin dan menyusu badan anak ketiganya, Amani Syazmin, 8, pada 2013.
“Saya langsung tiada masalah berat badan semasa melahirkan anak pertama, Amiera Shafieqa, 18, dan anak kedua, Amalia Syaqirah yang kini 15 tahun. Berat badan saya hanya 60kg ketika itu dengan ketinggian 172 sentimeter.
“Mungkin saya tidak sedar dengan hanya duduk bersahaja, tidak bersenam dan ‘kuat makan’ menjadi faktor berat badan naik mendadak,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
SUAMI JADI JURULATIH
Suami mana yang tidak mahu melihat isteri kekal sihat dan mempunyai penampilan yang sedap mata memandang serta tubuh badan yang menarik.
Bertitik tolak dari situlah, suami Adawiyah iaitu Saanan Mohd. Yusoff, 49, menawarkan diri untuk menjadi jurulatih bagi mengembalikan berat badan yang ideal isterinya seperti dahulu.
Saanan ialah ahli bina badan yang berkecimpung selama 16 tahun dalam sukan itu sejak anak sulungnya, Amiera berusia dua tahun.
“Suami bukanlah jurulatih profesional di gimnasium tetapi dia ada pengalaman yang mungkin suami orang lain tiada. Teknik orang yang mengajar memang sangat penting. Semua orang boleh buat tetapi jika teknik tidak betul, kita tidak akan dapat apa yang diinginkan.
“Jadi, bersandarkan pengalaman sukan bina badan itulah dia mengajak saya untuk ke gimnasium bagi melatih saya walaupun pada awalnya saya tidak yakin,” katanya sambil diperhatikan oleh Saanan di sebelah.

Ujar Adawiyah, jika mengambil jurulatih lain, sudah pasti dia tidak akan sampai ke tahap ini.
“Dia suami, jadi dia tahu apa yang kurang. Kalau dia nampak perut masih buncit, dia akan beritahu senaman apa yang perlu kerap dilakukan. Lengan atau paha besar pula perlu buat senaman ini. Dia yang akan memberi tunjuk ajar sebaiknya.
“Saya rasa, kalau saya mengikut latihan kecergasan dengan jurulatih berbayar, berat badan memang akan turun tetapi sekadar pada saiz XL atau L sahaja dan tidak ke tahap sekarang,” katanya.
TERUJA BERAT TURUN 33KG
Berceritakan pengalamannya, Adawiyah berkata, dia terkejut dengan perubahan dan hasil pada minggu pertama kerana turun 3 ke 4kg serta seluar yang dipakai juga sudah mulai longgar.
“Siapa tak gembira apabila senaman fizikal yang dilakukan ‘menjadi’. Apabila nampak perbezaan, saya beritahu suami untuk teruskan.
“Jadi, suami beritahu supaya buat workout secara konsisten namun berpada-pada mengikut kemampuan,” katanya.
Tambah Adawiyah, berbekalkan usaha keras, pengorbanan, disiplin dan kesabaran yang tinggi dalam menurunkan berat badan secara tidak langsung timbul minat yang mendalam untuk mendapatkan badan yang sihat.
“Saya akui beruntung kerana suami yang menjadi jurulatih tetapi kalau hanya bergantung kepadanya sahaja pun tidak menjadikan kita kurus dengan sendirinya.
“Apa-apa pun bergantung pada diri sendiri. Kita perlu kuat semangat dan paling penting sabar. Tidak bolehlah, baharu sehari bersenam, nak turun lima atau enam kg dalam sebulan. Proses kurus memang ambil masa,” katanya.
TIDAK LETAK SASARAN
ADAWIYAH berkata, dia mula melakukan workout bersama suaminya, lima kali seminggu dengan memastikan dua jam dipraktikkan dengan betul sejak awal Disember 2019.
“Workout perlu konsisten kalau betul-betul nak turunkan berat badan. Biasanya saya memilih latihan angkat berat berbanding kardio. Jika saya lakukan angkat berat selama satu jam lebih, kardio pula 30 minit.
“Tetapi, saya tidak meletakkan target untuk cepat turun atau kurus. Setengah orang, suka meletakkan sasaran yang akhirnya memakan diri sendiri.
“Selagi sihat saya akan kerap melakukan senaman walaupun perlahan. Tidak kisahlah turun 1kg tapi kita tahu sejauh mana kemampuan yang ada,” katanya.
Tegasnya, jangan paksa buat jika kita tidak mampu, terutama letak sasaran untuk turun 5kg dalam masa sebulan. Ia bukan sahaja memudaratkan tetapi akan cepat patah semangat kerana penat dan sakit.
Kata Adawiyah, dia jarang timbang untuk melihat berapa berat yang turun tetapi lebih suka melihat kehilangan inci perubahan pada badan.
“Toning and shape lebih penting berbanding jumlah berat yang kita dapat. Kita akan lebih yakin apabila dapat melihat perubahan bentuk badan yang sempurna,” katanya.
PEMAKANAN YANG SIHAT
Adawiyah berkata, ramai yang tersilap langkah dalam mengamalkan diet pemakanan yang sihat dan seimbang.
“Jangan fikir dengan kurangkan makan, badan akan kelihatan kurus. Bila tidak makan nasi, boleh turun berat badan dengan cepat. Hentikan pemikiran seperti itu. Sebenarnya, kalau nak turunkan berat pemakanan itu penting dan perlu cukup dalam badan.
“Badan kita memerlukan karbohidrat, protein, fiber, zat besi dan lain-lain. Apabila keperluan nutrisi mencukupi dengan mengamalkan pemakanan yang sihat, senaman yang konsisten, tidur dan rehat yang cukup, insya-Allah boleh kurus dengan cepat.
“Kalau sudah terbiasa minum manis, kurangkan. Selalu makan nasi dua pinggan, ambillah suku pinggan pula. Jika suka makan makanan segera, kurangkan pengambilannya.
“Jangan terlalu tetapkan atau paksa untuk berhenti makan semua ini. Jangan ikut cara orang lain. Kita perlu tahu kemampuan diri. Yang penting konsisten dalam melakukan senaman adalah lebih berkesan,” katanya.
Dia juga melarang sesiapa yang mengambil jalan mudah atau singkat untuk kurus.
“Tidak perlu ambil pil atau minuman kurus dan jangan sampai melakukan pembedahan Bariatrik iaitu potong usus.
“Percayalah, kalau kita mengamalkan cara singkat ini dan kurang bersenam, tubuh badan akan tampak lembik dan tidak firm. Jadi, jangan cepat putus asa,” katanya.
JADI MODEL BUTIK SENDIRI
Menjalankan perniagaan butik pakaian perlulah mempunyai keterampilan yang cantik dan meyakinkan malah ada ketika memerlukan pemiliknya memperaga pakaian yang dijual
Susulan itu, Adawiyah berkata, dia tidak perlu melantik atau membayar model untuk memperaga pakaian yang dijual di butiknya di Metropoint, Kajang kerana kini dia juga mampu untuk menjadi model jenama sendiri.
“Saya memang minat berniaga dan mempunyai pengalaman lebih lapan tahun namun berjinak-jinak dengan butik pakaian wanita sejak tiga tahun lalu.
“Jika dulu hanya menggunakan gambar yang pembekal sediakan untuk promosi, tetapi kini sejak memiliki badan saiz M, saya yakin untuk memperaga pakaian sendiri dan menjadi model bersama anak perempuan,” katanya.

Selain itu, katanya, kini ramai kenalan, pelanggan atau pengikutnya di Facebook dan Instagram terkejut dengan perubahan yang dialaminya dan ada juga yang menjadikan Adawiyah sebagai idola malah tidak ketinggalan yang kerap meminta tips menurunkan berat badan.
“Saya memang akan berkongsi jika ada yang bertanya. Untuk menjadi jurulatih mereka buat masa ini, belum terfikir.
“Tetapi saya pernah juga dilemparkan dengan kata-kata negatif oleh rakan-rakan seperti tidak perlu ke gimnasium sebab sudah tua nanti lutut sakit. Namun saya tidak termakan dan terasa dengan kata-kata sebegitu. Jangan sedih dengan pandangan negatif orang terhadap kita. Jadikan ia sebagai pembakar semangat dan terus konsisten untuk sihat,” katanya.










