Berinspirasikan konsep wabi sabi yang berasal dari Jepun, kediaman ini memancarkan keindahan dalam kesederhanaan dan ketidaksempurnaan.
Konsep ini menekankan nilai keaslian serta penerimaan terhadap sifat semula jadi sesuatu benda dan falsafah itu jelas terpancar di setiap ruang kediaman milik Amirah Abu Sujak yang bertekstur organik dan tenang.
“Saya tertarik dengan reka bentuk organik.
“Selain itu, warna konsep wabi sabi ini juga tepat dengan cita rasa saya yang inginkan rumah kelihatan nyaman dan tenang,” katanya kepada Seri.
Menariknya, walaupun berpegang kepada konsep tradisional Jepun, rumah ini turut diserikan dengan elemen moden melalui sistem rumah pintar.
Hampir keseluruhan ruang dilengkapi suis pintar yang disambungkan kepada peranti Apple HomePod, membolehkan kawalan rumah dilakukan hanya melalui arahan suara, Siri.
Dari segi rekaan pula, Amirah memanfaatkan elemen semula jadi.

Tekstur batu pada panel televisyen dan dinding ruang makan dihasilkan sendiri, sekali gus menambah nilai sentimental dan sentuhan peribadi pada kediaman.
Meja makan pula ditempah khas bagi mencipta kelainan manakala pemilihan lampu, bentuk sofa serta elemen lengkung yang muncul di hampir setiap ruang menjadikan keseluruhan rumah tampak harmoni dan berseni.
Amirah turut bereksperimen dengan teknik cat limewash bagi memberikan kesan visual yang lembut dan bertekstur, menjauhkan kediaman daripada rasa bosan.
“Wabi sabi menolak konsep kesempurnaan, jadi untuk kediaman kami ini, semua ketidaksempurnaan diraikan sebagai seni.
“Konsep ini susah nampak ketinggalan zaman kerana pemilihan warna dan gaya yang natural serta minimal memberikan impak malar segar,” ujarnya.

Ruang kegemaran wanita ini ialah ruang makan yang direka seakan-akan kafe menjadi tempat keluarga kecilnya berkumpul dan berbual santai.
Ruang bersaiz sederhana itu dilengkapi dinding tumpu bertekstur beserta bangku panjang yang dipadankan dengan meja berbentuk bulat tidak sekata.
“Bahagian ini juga dilengkapi dengan meja bar dan rak untuk peralatan membancuh matcha yang disusun rapi bersama barangan dekorasi lain,” kongsinya.
Setiap ruang direka berdasarkan fungsi sebenar dengan kabinet tersembunyi bagi memastikan tiada pembaziran ruang.
Kediaman jenis kondominium tiga bilik seluas lebih kurang 1,000 kaki persegi ini turut menyerlah melalui padanan rona hangat dan neutral.
“Saya seorang yang sukakan warna menonjol manakala suami ebih cenderung kepada rona neutral jadi kami sepakat memilih warna walnut sebagai warna utama dan dipadankan dengan beige, kelabu, hijau zaitun, hitam dan putih.
“Warna-warna ini mewujudkan sesuana hangat dan nyaman. Kadang-kadang saya padankan dengan pokok hidup hijau dan bunga segar untuk menaikkan seri ruang,” katanya.










