Transformasi ratu penerjun China Quan Hongchan

Transformasi ratu penerjun China Quan Hongchan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RATU terjun China, Quan Hongchan, membuka tirai 2026 dengan cemerlang apabila dinobatkan sebagai Tokoh Sukan Terbaik 2025, selain membuat kemunculan sulung di muka depan majalah bersama beberapa lagi bintang terkenal negara itu.

9 Februari lalu, majalah People secara rasmi memperkenalkan barisan wajah penghias muka depan edisi 2025, menampilkan lapan figura berpengaruh yang memberi impak dalam bidang masing-masing sepanjang tahun lalu.

Selain Hongchan, edisi berkenaan turut mengetengahkan nama-nama tersohor seperti pelakon Xin Zhilei, Tony Leung Ka-fai dan Shu Qi, penyanyi Shan Yichun dan Zhang Jiahao, selain arkitek terkemuka Liu Jiakun serta pakar robotik, Zhi Huijun.

Ditubuhkan pada 1980, majalah People merupakan antara penerbitan terawal di China yang memfokuskan kepada profil biografi, dan terkenal kerana menampilkan tokoh berpengaruh serta personaliti kontemporari berprofil tinggi.

Lapan individu itu dipilih sebagai ikon bagi tahun 2025, masing-masing diiktiraf atas kecemerlangan dalam pelbagai bidang daripada sukan dan hiburan hingga inovasi teknologi tinggi.

Namun, penampilan atlet terjun itu paling mencuri perhatian, dengan gaya rambut diikat tocang dan raut wajah serius di muka hadapan majalah, menjadikan keluaran tersebut tular di media sosial China.

Rencana majalah itu turut menekankan transformasi Hongchan bukan sekadar perubahan fizikal, sebaliknya 2025 menjadi detik penting apabila beliau menyambut ulang tahun ke-18 dan secara rasmi melangkah ke alam dewasa.

“Pada 2025, Quan Hongchan genap 18 tahun dan secara rasmi melangkah ke alam dewasa. Tahun ini, beliau berdepan realiti sukar perkembangan fizikal dan kecederaan.

“Selepas tempoh rehat dan penyesuaian, beliau kembali bertanding di Sukan Kebangsaan China dan memenangi pingat emas dalam acara platform 10 meter berirama wanita,” menurut artikel tersebut.

Majalah itu turut mengiktiraf Hongchan sebagai Tokoh Sukan Terbaik 2025, atas semangat ketabahan dan kualitinya dalam sukan kompetitif China.

IMEJ SEGAR DAN MATANG

Beberapa minggu sebelum pelancaran edisi berkenaan, Hongchan terlebih dahulu menjadi perhatian di media sosial apabila berkongsi fotonya memetik strawberi di sebuah ladang.

Wajah comelnya dahulu kini berubah lebih matang dengan rambut panjang mengurai dan imej segar remaja, yang dianggap penampilan berbeza dalam kalangan peminatnya.

Beliau bukan lagi remaja kecil berusia 14 tahun yang mencipta sensasi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebagai antara penerjun China termuda memenangi pingat emas, mahupun atlet remaja ketika meraih dua lagi emas di Sukan Olimpik Paris 2024.

Meskipun berdepan perubahan fizikal dan tempoh rehat enam bulan, Hongchan tetap mengekalkan kualiti terjunan yang memukau dan penuh ketepatan, selain mempersiapkan diri untuk kembali ke pentas antarabangsa khususnya Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Pencapaian terbaharu dalam acara berpasukan terjun seirama 10 meter wanita Sukan Kebangsaan China tahun lalu, membuktikan meskipun mengalami perubahan fizikal, lebih tinggi dan berisi, beliau kekal unggul sebagai pakar teknik ‘percikan sifar’ yang menjadi identitinya.

Prestasi yang mengagumkan meskipun mengalami kecederaan menandakan beliau masih jauh daripada persaraan.

Pada 2021, Hongchan mula menjadi sebutan ramai selepas meraih pingat emas acara 10 meter platform di Olimpik Tokyo 2020 yang ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

Ketika itu, beliau mentakrifkan semula penanda aras terjunan elit selepas melakukan beberapa terjunan paling sukar di dunia dengan mudah.

Tarikan graviti dirasakan semakin mencabar apabila ketinggian Hongchan bertambah sekurang-kurangnya 15 sentimeter dan berat meningkat 10 kilogram (kg) menjelang Olimpik Paris 2024.

Namun, beliau menangkis cabaran itu dan menewaskan rakan sepasukan negara, Chen Yuxi, untuk mempertahan emas di Paris.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN