Soalan:
Saya dan suami sangat sibuk. Balik kerja lewat malam, badan penat dan mahu rehat. Masuk bulan Ramadan, ingatkan kerja pejabat berkurangan, rupanya semakin bertambah. Makan pakai anak diurus pembantu, tetapi saya tetap rasa bersalah.
Ibu bersalah
Jawapan:
Ramai ibu bapa hari ini berkorban masa demi memastikan anak cukup makan, pakai dan belajar dengan selesa. Namun dalam kesibukan itu, keperluan emosi anak kadang-kadang mereka terlepas pandang.
Walaupun fizikal terjaga, hati anak terasa kosong, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang diharapkan dapat merapatkan hubungan keluarga. Anak tidak minta kemewahan, mereka hanya mahukan perhatian ibu bapa. Berikut adalah tips untuk puan mengendalikan perasaan ini:
Akui perasaan sendiri – Anda berhak merasa kecewa, bersalah atau sedih. Terima emosi itu dan yakin setiap pengorbanan ada hikmahnya. Menyimpan semua perasaan hanya akan membuatkan luka anda semakin mendalam.
Cipta masa berkualiti – Walaupun sibuk bekerja, cuba luangkan masa untuk bersama anak-anak selepas balik kerja 15 – 20 minit sehari. Lakukan aktiviti kecil seperti berbual, peluk dan dengar cerita mereka. Ia boleh membantu anda menenangkan fikiran dan fokus pada anak-anak walaupun seketika.
Jadikan Ramadan bermakna – Cari aktiviti khas untuk bersama anak-anak sekurang-kurangnya seminggu sekali berbuka puasa, tadarus ringkas atau sahur hujung minggu bersama. Mungkin keadaan ini nampak memenatkan tapi anak-anak akan ingat momen kecil ini sampai dewasa.
Kurangkan gangguan digital – Apabila bersama anak-anak, beri fokus sepenuhnya, jauhi daripada telefon atau barang kerja. Fokus pada kontak mata dan sentuhan yang lebih memberi kesan kepada anak-anak. Kerja tidak akan habis, tapi masa anak membesar tidak akan berulang kembali.
Sentiasa ada untuk anak – Walaupun sibuk bekerja, pastikan anak-anak diberi perhatiaan sewajarnya, Jika anak merajuk atau diam, dekati mereka dahulu. Jangan tunggu mereka meluah. Kejujuran dan pelukan ibu boleh melembutkan hati anak.
Jaga emosi diri – Ambil masa 5-10 minit sehari untuk tenangkan diri, tarik nafas, berzikir atau duduk tanpa gangguan. Jangan terlalu keras pada diri sendiri. Ibu yang tenang akan melahirkan anak yang lebih tenang.
Kesimpulan: Anak mungkin lupa apa yang dibeli, tetapi mereka tidak akan lupa kehadiran dan kasih sayang kita. Kadang-kadang, mereka tidak perlukan lebih wang, cukup hanya lebih masa dan perhatian dari ibubapa.










