Soalan:
Saya ibu kepada dua orang anak. Saya terkilan dengan sikap keluarga mentua yang tidak menghormati privasi keluarga saya. Saya faham, ipar-ipar belum dikurniakan anak, tapi mereka suka ambil anak atau video anak saya tidak kira masa. Baru-baru ini, ibu saya terasa hati sebab ipar hubungi anak-anak sepanjang duduk dirumah ibu, ajak balik, pelawa beli mainan sampai anak-anak sibuk mengajak balik tidak mahu duduk rumah ibu.
Ibu kecewa
Jawapan:
Peranan seorang ibu dalam melindungi keharmonian keluarga amat besar. Dalam usaha menjaga hati orang lain, ada kalanya emosi dan perasaan keluarga sendiri terkorban, meletakkan ibu dalam dilema dan tekanan emosi. Oleh itu, pengurusan sempadan yang jelas amat penting. Berikut tip untuk rujukan puan.
Tetapkan sempadan: Ibu bapa perlu menetapkan had jelas dalam komunikasi, adab dan panggilan video yang melibatkan anak. Tujuannya bukan menghalang, tetapi untuk melindungi dan menghormati privasi serta kesejahteraan keluarga.
Libatkan pasangan: Isu berkaitan keluarga mertua sebaiknya disampaikan oleh pasangan agar mesej lebih mudah diterima dan tidak disalah tafsir sebagai konflik peribadi. Kadangkala, apabila disampaikan oleh menantu, perkara yang benar boleh menimbulkan salah faham yang berpanjangan.
Kurangkan akses anak: Hadkan panggilan telefon atau video ketika anak bersama orang lain seperti di rumah datuk dan nenek. Ini membantu anak lebih fokus untuk membina hubungan yang sihat dengan mereka. Perbincangan yang jelas dengan pasangan penting supaya kedua-dua pihak dapat bekerjasama dengan baik.
Maklumkan kepada keluarga mentua: Maklumkan awal kepada keluarga mentua semasa anak berada di rumah pihak lain, elakkan ajakan pulang, janji hadiah atau gangguan yang boleh mengelirukan emosi anak. Ibu perlu menyampaikan perkara ini secara jujur dan berlapik berdasarkan emosi yang dirasai, manakala penerimaan terpulang kepada pihak mereka.
Didik anak menghormati orang tua: Anak perlu dibimbing secara lembut untuk memahami mengenai setiap tempat mempunyai adabnya. Apabila bersama datuk dan nenek, anak perlu menghargai masa bersama mereka tanpa desakan atau gangguan untuk pulang awal.
Fahami dengan empati: Memahami perasaan ipar yang belum mempunyai anak adalah penting. Namun, empati tidak bermaksud membenarkan pencerobohan privasi atau mengabaikan kesejahteraan emosi keluarga sendiri.
Kesimpulannya, menjaga sempadan dalam keluarga besar bukan untuk menjauhkan hubungan, tetapi bagi memastikan setiap pihak dihormati dan emosi terpelihara. Menghormati privasi orang lain adalah asas untuk kita juga dihormati.










