Semangat Fei Yang dalam setiap helaian

Semangat Fei Yang dalam setiap helaian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGI saya, Tahun Baharu Cina bukan sekadar perayaan. Ia adalah perasaan. Perasaan apabila warna mula berbicara, fabrik menyentuh kulit dengan penuh makna dan setiap helaian yang dipakai terasa seperti ucapan yang dijahit kemas.

Pilihan saya minggu ini adalah The Fei Yang Collection oleh jenama tempatan Pokoks. Koleksi ini merayakan kegembiraan dan harapan dengan cara yang segar dan berjiwa.

Fei Yang membawa maksud terbang tinggi. Dan koleksi ini benar-benar memahami maknanya. Motifnya berani tetapi tidak bising, penuh warna namun tetap seimbang.

Ada cetakan yang ceria, ada yang lebih tenang dan sofistikated, tetapi semuanya berkongsi satu rasa yang sama. Setiap corak seolah-olah mengajak kita tersenyum, mengingatkan Tahun Baharu Cina adalah tentang permulaan baharu yang diraikan bersama orang tersayang.

Kekuatan Fei Yang terletak pada kepelbagaian siluetnya. Untuk wanita, potongan cheongsam moden dengan garis bersih dan struktur lembut memberi rasa anggun tanpa mengorbankan keselesaan.

Ia sesuai dipakai dari pagi hingga malam, dari rumah ke rumah, tanpa perlu berfikir dua kali. Lelaki pula tampil kemas dengan rekaan berkolar Mandarin yang ringkas tetapi penuh karakter, cukup untuk kelihatan segar tanpa kelihatan terlalu formal.

Untuk kanak-kanak, potongannya ringan dan ceria, membenarkan mereka bergerak bebas sambil tetap kelihatan manis dan bergaya.

Dari segi gaya, koleksi ini memberi ruang untuk bermain warna dengan yakin. Jika anda memilih helaian bermotif terang seperti merah, jingga atau hijau, seimbangkan dengan item asas berwarna neutral seperti putih, krim atau nude.

Wanita pula boleh memadankan cheongsam dengan kasut bertumit rendah atau flats untuk keselesaan sepanjang hari. Pasanganmu pula boleh memilih seluar cerah dan kasut kulit ringkas untuk penampilan yang kemas dan moden.

Aksesori dalam gaya Fei Yang sebaiknya dipilih dengan bijak. Biarkan pakaian menjadi fokus dan aksesori sekadar pelengkap. Anting-anting kecil emas, gelang nipis atau jam tangan klasik sudah cukup untuk menaikkan seri. Jika mahu sentuhan berani, beg tangan atau kasut dalam warna kontras seperti hijau zamrud atau merah bata boleh menjadi statement tanpa keterlaluan.

Bagi keluarga yang ingin kelihatan seiring tetapi tidak terlalu seragam, rahsianya ialah palet warna. Pilih satu atau dua tona utama, kemudian biarkan setiap ahli keluarga memilih motif dan potongan yang berbeza.

Hasilnya lebih santai, lebih moden dan terasa lebih jujur seperti sebuah keluarga sebenar yang berkongsi rasa.

Apa yang membuatkan The Fei Yang Collection benar-benar bernilai ialah kebolehannya terus hidup selepas musim perayaan. Rekaan ini boleh digayakan semula dengan seluar jeans untuk makan malam santai, manakala gaun boleh dipadankan dengan blazer polos.

Fesyen ini bukan sekadar untuk hari perayaan, sebaliknya terus menemani kehidupan seharian.

Menyambut Tahun Baharu Cina bukan soal tampil paling menyerlah, tetapi keikhlasan meraikannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN