‘Satu gigi sudah cukup kenal identiti’
Pada usia 45 tahun, Dr. Nor Atika terbabit secara langsung dalam pelbagai peristiwa hitam seperti tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine, nahas AirAsia Indonesia QZ8501 di Laut Jawa serta insiden pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah.
Tragedi MH17 pada 17 Julai 2014 yang mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal menyaksikan Dr. Nor Atika mengetuai pasukan antemortem odontologi forensik Malaysia.
Tanggungjawabnya adalah mengumpul dan menyelaras rekod pergigian mangsa rakyat Malaysia daripada pelbagai klinik pergigian di seluruh negara sebelum dihantar ke Belanda bagi tujuan padanan dengan data post mortem.
“Dalam kes bencana besar seperti nahas pesawat, siasatan dijalankan mengikut protokol antarabangsa yang membabitkan beberapa fasa iaitu kawasan kejadian, post mortem, ante mortem dan rekonsiliasi.
“Walaupun hanya satu gigi, jika terdapat imej sinar-X atau rekod lain semasa mangsa masih hidup, identiti boleh disahkan dengan tepat melalui struktur luaran dan dalaman gigi terbabit, ” katanya.

Pada penghujung Disember 2014, Dr. Nor Atika sekali lagi dipanggil berkhidmat, kali ini ke Surabaya, Indonesia, susulan nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang mengorbankan 162 nyawa. Beliau berada di lokasi selama tiga minggu dan terbabit secara langsung dalam fasa post mortem.
Apabila berada di medan sebenar, Dr. Nor Atika mengakui sudah mempersiapkan minda. Keadaan mayat sangat pelbagai; ada gigi masih baik, ada yang pecah, tercabut, malah ada mayat yang tidak sempurna.
Pengalaman bekerja bersama pasukan forensik Indonesia memberi pendedahan luas kepadanya mengenai pengurusan bencana berskala besar, selain memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa.
“Pengalaman paling sukar untuk dilupakan adalah semasa bertugas di Lahad Datu pada 2013 yang membabitkan perwira negara yang terkorban mempertahankan kedaulatan tanah air daripada pencerobohan pengganas Sulu.
“Saya dan pasukan bertugas selama tiga minggu dalam keadaan mayat yang tidak sempurna. Tanpa rekod pergigian lengkap, pasukan perlu menjalankan pemprofilan umur serta menyemak laporan kehilangan yang diterima daripada keluarga mangsa, “katanya.
Menyebut kerjaya forensik, Dr. Nor Atika sering ditanya sama ada pernah mengalami sebarang gangguan misteri. Namun dia bersyukur kerana sepanjang tugasan, semuanya berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.
Cari identiti tentera zaman perang
Selain penglibatan dalam tragedi bencana udara dan konflik bersenjata, Dr. Nor Atika turut terbabit dalam misi repatriasi antarabangsa bersama pasukan forensik Angkatan Tentera Malaysia menerusi Ops Reunite, Ops Te Auraki dan Ops Gangga.
Misi ini memberi tumpuan kepada proses pengurusan dan pengesahan identiti tentera Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat yang meninggal dunia atau yang dikebumikan di Malaysia semasa zaman perang dahulu, sebelum dibawa pulang ke tanah air mereka semula.
Menurut Dr. Nor Atika, tugasan itu menuntut ketelitian tinggi kerana ia membabitkan koordinasi pelbagai agensi termasuk pasukan ketenteraan, pakar forensik tempatan serta pihak berkuasa luar negara.
“Walaupun bukan dalam konteks bencana besar, setiap proses repatriasi tetap membawa beban emosi tersendiri. Setiap jasad bukan sekadar kes forensik, tetapi seorang insan yang ditunggu kepulangannya oleh keluarga.

“Dalam misi ini, saya berperanan memberikan kepakaran odontologi forensik bagi menyokong proses pengesahan identiti, selain memastikan dokumentasi dan prosedur pemindahan mematuhi protokol antarabangsa, ” katanya.
Katanya, pengalaman bekerja bersama pasukan forensik Angkatan Tentera Malaysia juga memperlihatkan peranan penting disiplin ketenteraan dalam memastikan operasi berjalan lancar, tersusun dan penuh hormat terhadap si mati.
Dr.Nor Atika menyifatkan semua operasi ini sebagai satu bentuk diplomasi kemanusiaan, di mana kepakaran profesional digembleng merentas sempadan negara demi maruah dan hak individu yang sudah meninggal dunia.
“Bagi saya, repatriasi adalah fasa penutup yang sangat penting. Ia memberi ruang kepada keluarga untuk menamatkan penantian dalam ketidakpastian,” tambahnya.
Minat jadi penyiasat
Minat terhadap penyiasatan menjadi pendorong Dr. Nor Atika memilih bidang Odontologi Forensik iaitu satu kepakaran yang menggabungkan sains pergigian dan dunia forensik.
Beliau menamatkan pengajian kepakaran dan Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Adelaide, Australia pada 2008 dan 2015, selepas memperoleh ijazah Doktor Pergigian (DDS) dari UKM pada 2005.
“Daripada 13 bidang kepakaran pergigian, saya memilih Odontologi Forensik kerana saya suka menyiasat. Sebenarnya tidak ramai yang memilih bidang ini kerana ketika saya pulang dari Australia, hanya sekitar lima orang pakar di negara ini,” katanya.

Berdasarkan rekod terkini, jumlah Pakar Odontologi Forensik di Malaysia dianggarkan sekitar 15 orang saja.
Pengalaman pertama mengendalikan mayat berlaku sebelum Dr. Nor Atika menyambung pengajian di Australia, membabitkan kes pembunuhan seorang wanita. Mayat berkenaan adalah mayat seorang wanita tempatan yang ditemui di Tasik Titiwangsa.
Sejak awal, mindanya sudah dipersiapkan untuk memastikan tugasan diamanahkan dijalankan dengan sempurna. Apabila diberi tugasan, fokusnya hanyalah untuk mengenal pasti identiti mangsa.
“Kalau mayat tiada identiti, pihak Polis dan Pakar Patologi Forensik akan buat rujukan kepada saya. Saya akan cuba cari rekod pergigian mangsa ketika masih hidup. Ini termasuk bertanya dengan keluarga, di mana mereka jumpa doktor gigi. Saya akan ke klinik itu untuk mendapatkan rekod berkenaan, “katanya.
Beliau akan membandingkan rekod yang diterima dengan pemeriksaan ke atas mayat terbabit. Padanan rekod masa mati dan masa hidup yang akan membolehkan identiti mereka dikesan.
Proses pengenalpastian membabitkan padanan 32 batang gigi iaitu dengan meneliti bentuk, tampalan, akar, crown serta kewujudan karies. Kesemua maklumat ini akan membentuk satu profil unik seseorang individu.
Menurutnya, antara cabaran utama di Malaysia adalah ketiadaan pangkalan data pergigian kebangsaan. Ketika ini, kebanyakan padanan masih dilakukan secara manual.
Bagaimanapun, dia optimis dengan usaha Kementerian Kesihatan Malysia dalam mendigitalisasikan rekod pergigian rakyat, selain potensi penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk mempercepatkan proses padanan pada masa hadapan. AI membantu dari segi kepantasan tetapi keputusan akhir tetap memerlukan kepakaran manusia.
Pensyarah kesayangan pelajar
Dr. Nor Atika kini menyandang jawatan Timbalan Pengarah (Pedagogi dan Penilaian), Pusat Pengajaran dan Pembangunan Kurikulum UKM, selain bertugas sebagai pensyarah dan pakar klinikal.

Baginya, bilik kuliah bukan sekadar ruang menyampaikan ilmu tetapi medan pertama membentuk ketahanan mental, ketelitian saintifik dan empati profesional, nilai yang sama diperlukan ketika berhadapan dengan mayat tidak bernama di medan forensik.
Sebagai pensyarah pergigian dan pakar odontologi forensik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Nor Atika dikenali sebagai pendidik yang tegas namun dekat dengan pelajar dari segi kemanusiaan.
Kaedah pengajarannya sering menggabungkan sains asas yang kukuh, kes klinikal sebenar serta pendekatan inovatif termasuk penggunaan teknologi, visualisasi dan simulasi. Justeru tidak hairanlah apabila Dr.Nor Atika pernah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Bitara Pengajaran (Kategori Sains Kesihatan) di peringkat UKM.
Pendekatan tersebut menjadikan sesi pengajaran Dr. Nor Atika mencabar tetapi bermakna. Bagi pelajar, wanita itu bukan sekadar pensyarah tetapi mentor yang membentuk cara berfikir secara kritikal dan bertanggungjawab.
Dr. Nor Atika juga pernah menjadi penasihat pelajar di Fakulti Pergigian, UKM dan kini adalah penasihat Persatuan pelajar pergigian Malaysia.
Walaupun dikenali antara pensyarah yang tegas di fakulti, Dr. Nor Atika tetap disayangi pelajarnya sehingga dinobatkan sebagai Pensyarah Popular pada tahun 2024. Ini membuktikan keseimbangan diri antara disiplin dan empati.
Katanya dia tidak mahu pelajar belajar untuk lulus semata-mata dan mahu pelajar faham kenapa sesuatu ilmu itu penting dan bagaimana ia memberi kesan kepada manusia sebenar di luar bilik rawatan.
UKM juga adalah universiti pertama yang menawarkan program Kepakaran Odontologi Forensik di negara ini dibawah kelolaan beliau. Pada masa ini, Dr. Nor Atika cuba menerokai padanan pergigian menggunakan kaedah kecerdasan buatan (AI). Walaupun kecerdasan manusia masih diperlukan untuk membuat keputusan, namun AI berfungsi dengan lebih pantas.
Beliau juga bekerjasama dengan pelbagai pihak lain seperti Jabatan Warisan dan Jabatan Perhilitan untuk melihat gigi haiwan. Ini kerana kadang- kadang ada kes percampuran gigi manusia dan haiwan dan pengasingan perlu dilakukan.
Profil ini penting kerana pada masa yang sama dapat membenteras kes penyeludupan haiwan seperti yang sering berlaku. Ini dapat membantu pihak berkuasa mengenalpasti gigi manusia dan gigi binatang.
Anak kedua daripada tiga beradik, Dr. Nor Atika adalah satu-satunya doktor gigi di dalam keluarga. Kakak dan adiknya berada dalam bidang berbeza iaitu sebagai penganalisis dan pencipta program dalam teknologi maklumat.
Mengakhiri bicara, beliau berharap Malaysia suatu hari nanti mempunyai Rekod Pangkalan Data Pergigian Kebangsaan yang bersepadu, merentas kementerian dan memenuhi piawaian Interpol.










