DIPROMOSIKAN oleh Presiden Donald Trump sebagai karya wajib tonton, dokumentari Melania Trump bertajuk Melania kini mencatat kutipan tiket melebihi jangkaan sebanyak AS$7 juta (RM27.5 juta).
Pelancaran Melania tidak seperti mana-mana tayangan lain sebelum ini. Amazon MGM Studios membayar AS$40 juta (RM157 juta) untuk mendapatkan hak tayangan, selain kira-kira AS$35 juta (RM137.9 juta) bagi tujuan pemasaran, menjadikannya dokumentari paling mahal pernah dihasilkan.
Filem arahan Brett Ratner, yang dibuang negeri dari Hollywood sejak 2017, berkisahkan mengenai wanita pertama Amerika Syarikat (AS) dan ditayangkan di 1,778 pawagam di tengah penggal kedua Trump yang penuh pergolakan.
Walaupun hasilnya mungkin dianggap kegagalan bagi kebanyakan filem dengan kos setinggi itu, Melania masih berjaya mengikut piawaian dokumentari.

Ia mencatat kutipan hujung minggu pembukaan terbaik bagi sebuah dokumentari, tidak termasuk filem konsert, dalam tempoh 14 tahun.
Sebelum tayangan hujung minggu, anggaran kutipan berada dalam lingkungan AS$3 juta hingga AS$5 juta (RM11.8 juta hingga RM19.7 juta).
Namun, tidak banyak yang boleh dibandingkan dengan Melania, memandangkan keluarga presiden biasanya mengelakkan memoir atau dokumentari semasa berada di jawatan bagi mengelak tanggapan mengeksploitasi kedudukan di Rumah Putih.
Filem itu merakam kehidupan Melania Trump selama 20 hari pada 20 Januari tahun lalu, menjelang pelantikan penggal kedua suaminya sebagai Presiden AS.
Minggu lalu, Trump menganjurkan tayangan perdana filem tersebut di Kennedy Center, dengan kehadiran anggota Kabinet dan ahli Kongres.
Namun, kebanyakan rasa ingin tahu tertumpu pada bagaimana Melania akan mencatat prestasi. Seminggu lebih awal, Rumah Putih menganjurkan tayangan pratonton yang dihadiri oleh Ketua
Eksekutif Amazon, Andy Jassy; Ketua Eksekutif Apple, Tim Cook dan bekas peninju, Mike Tyson.
PELABURAN POLITIK
Filem dokumentari tersebut ditayangkan pada minggu getir ketika liputan terhadap tindakan keras imigresen memuncak di Minnesota, selepas ejen persekutuan menembak mati seorang jururawat, Alex Pretti, di Minneapolis.
Melania tidak ditayangkan terlebih dahulu untuk pengkritik, tetapi ulasan yang dikeluarkan pada minggu lalu, sebaik sahaja ia dikeluarkan di pawagam, tidak bagus.
Xan Brooks dari The Guardian membandingkan filem itu dengan ‘penghormatan zaman pertengahan untuk menyenangkan raja yang tamak di takhtanya.

“Untuk mengatakan Melania ialah hagiografi pun merupakan penghinaan kepada hagiografi,” kata penulis The Hollywood Reporter, Frank Scheck.
Namun dalam kalangan mereka yang membeli tiket pada hujung minggu lalu, responsnya dilihat jauh lebih positif. Melania mendapat markah ‘A’ di CinemaScore.
Kebanyakan penonton berumur 55 tahun ke atas, dengan 72 peratus pembeli tiket, 72 peratus wanita dan 75 peratus berkulit putih.
Seperti yang dijangka, filem ini paling laris di Selatan, dengan negeri-negeri termasuk Florida serta Texas.
Ketua firma perunding filem FranchiseRe, David A. Gross menyifatkannya sebagai ‘pembukaan yang cemerlang untuk sebuah dokumentari politik’.
“Bagi mana-mana filem lain, dengan kos AS$75 juta (RM295 juta) dan potensi pasaran luar negara yang terhad, ia akan menjadi satu masalah.
“Namun, ini adalah pelaburan politik, bukan usaha filem untuk meraih keuntungan dan jika ia membantu Amazon dalam isu kawal selia, percukaian, tarif atau perkara berkaitan kerajaan yang lain, maka pelaburan ini akan berbaloi. AS$75 juta tidak signifikan bagi Amazon,” katanya.
Melania merupakan filem pertama Ratner sejak beliau dituduh melakukan salah laku seksual pada 2017.
Beberapa wanita, termasuk pelakon Olivia Munn, menuduh Ratner melakukan gangguan dan salah laku seksual, namun beliau menafikan tuduhan tersebut.
Melania, yang akan ditayangkan secara penstriman di Prime Video selepas tamat tayangan pawagam, dilancarkan di peringkat global.
Tidak lama sebelum tayangannya, pengedar Afrika Selatan, Filmfinity berkata ia tidak lagi akan menayangkan filem tersebut.
Syarikat tersebut memaklumkan keputusan itu dibuat berdasarkan perkembangan terkini. Jualan tiket antarabangsa untuk Melania dijangka amat kecil.










