Warna-warni inspirasi gaya Eclectic

Warna-warni inspirasi gaya Eclectic

Ruang tamu dilatari rona neutral dengan sedikit sentuhan rona hijau pada sofa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Melihat rumah teres dua tingkat ini terasa bagai memasuki sebuah galeri peribadi yang penuh warna, gaya dan karakter.

Setiap sudut kediaman milik Khairunazwa Abd. Samad ini membawa aura ceria yang lembut, seolah-olah membuka halaman sebuah kisah kediaman yang dibina dengan penuh cinta dan keberanian mencuba.

Walaupun tampil berwarna-warni, ruang dalamannya tetap harmoni, tersusun dan memanjakan mata.

Perpaduan pelbagai gaya boleh menghasilkan sebuah rumah yang bukan sahaja indah, tetapi juga mempunyai jiwa.

Menurut Khairunazwa yang juga seorang guru, konsep kediamannya boleh digambarkan sebagai gaya Eclectic iaitu campuran pelbagai elemen yang digabungkan mengikut cita rasa dan gerak hatinya sendiri.

Baginya, rumah adalah ruang berekspresi, maka tidak perlu terikat pada satu konsep semata-mata.

“Konsep rumah ini saya campur-campur, sebab itu kita panggil gaya Eclectic.

“Saya padankan apa sahaja yang saya suka asalkan sedap mata memandang,” katanya kepada Seri.

Dari sentuhan moden, elemen rumah ladang yang hangat, hinggalah percikan warna merah jambu yang menjadi identiti kediamannya, semuanya disusun bagi mencipta suasana yang selesa dan menenangkan.

Proses membentuk gaya kediaman ini berkembang perlahan-lahan selama hampir empat tahun, bermula sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Masa yang panjang memberi peluang mengenal pasti elemen yang benar-benar disukai, selain memastikan setiap pembelian dibuat secara teliti.

Konsep Eclectic juga memberikannya kelebihan bermain dengan pelbagai gaya sekali gus membolehkan Khairunazwa melunaskan kreativitinya.

Setiap ruang boleh berevolusi mengikut mood, keperluan dan inspirasi semasa.

Antara ruang yang paling menjadi kesayangannya ialah dapur merah jambu yang cukup memikat.

Rona lembut itu bukan sahaja memberikan aura ceria, malah menjadikan suasana dapur lebih hidup dan instagrammable.

Selain itu, Khairunazwa memilih asas warna neutral seperti putih, beige dan kelabu sebagai latar belakang rumah.

“Warna-warna ini membantu memastikan kediaman tidak kelihatan serabut walaupun dihiasi elemen yang pelbagai,” katanya.

Walaupun konsepnya bercampur-campur, penyelenggaraan rumah ini sebenarnya lebih mudah.

Tanpa perlu mematuhi satu gaya khusus, setiap perubahan boleh disesuaikan mengikut keperluan tanpa merosakkan tema keseluruhan.

Menariknya, dia tidak merujuk mana-mana sumber khusus dalam menghias rumah.

Segalanya dilakukan berdasarkan naluri visual, kreativiti dan kecintaannya terhadap dekorasi.

Teres dua tingkat dengan keluasan sekitar 1,700 kaki persegi ini menjadi medium seni yang mencerminkan personaliti pemiliknya.

Setiap warna, tekstur dan perincian adalah refleksi kegembiraan yang ingin dibawa masuk ke dalam ruang kediaman.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×