Dekorasi daripada barang terkumpul

Dekorasi daripada barang terkumpul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak semua rumah memerlukan bajet besar atau perabot serba baharu untuk kelihatan cantik.

Ada rumah yang membesar bersama pemiliknya perlahan-perlahan, penuh cerita dan setiap sudutnya membawa makna tersendiri.

Itulah falsafah yang menjadi nadi kepada kediaman Jalina Jalin, seorang suri rumah sepenuh masa yang turut aktif sebagai pencipta kandungan.

Kediaman teres dua tingkat seluas 990 kaki persegi miliknya tampil hangat, selesa dan mempunyai jiwa selaras konsep pilihannya iaitu collected & cozy home.

Sejak berpindah pada 2008, rumah ini dihias secara perlahan-lahan dan sedikit demi sedikit, menjadikan setiap ruang mempunyai karakter, memori dan nilai sentimental tersendiri.

“Konsep ini sesuai dengan saiz rumah saya yang tidak berapa besar.

“Tidak semestinya perlukan perabot mahal atau penggayaan sempurna, hanya menggunakan barang-barang yang dikumpul dari semasa ke semasa.

“Konsep ini mencipta suasana yang hangat dan nampak hidup,” katanya kepada Seri.

 

LAMPU TAMBAHAN
Elemen utama yang membentuk suasana nyaman dalam kediaman ini datang daripada penggunaan lampu tambahan seperti lampu lantai dan lampu meja dengan cahaya kekuningan hangat.

Pencahayaan sebegini menjadi asas mood lembut dan menenangkan yang diingini Jalina.

Dinding pula tidak dibiarkan kosong dan dihias ala galeri dengan susunan pinggan dekoratif yang menjadi ciri visual rumah ini.

Wanita berusia 46 tahun ini juga menambah bunga-bungaan, sama ada tiruan atau segar, di beberapa sudut sebagai penyeri ruang.

Aksesori seperti throw blanket dan bantal hiasan digunakan bagi memberikan tekstur dan keselesaan tambahan sekali gus melengkapkan konsep yang dipilih.

“Kelebihan konsep ini ialah saya tidak perlu mengeluarkan modal yang banyak untuk melengkapkan rumah dan biarlah masa menentukan.

“Jika ada bajet sesuai dan jumpa barang disukai, baru beli. Dengan itu kita tidak akan rasa tertekan untuk melengkapkan rumah dengan cepat,” ujarnya.

Dalam aspek pemilihan warna, Jalina memilih tona muted sebagai warna utama untuk mengelakkan ruang kelihatan terlalu berwarna-warni.

Perabot kayu tetap menjadi pilihan, namun dia tidak mengehadkan kepada satu tona sahaja.

Variasi tona kayu digunakan bagi mewujudkan kepelbagaian visual tanpa menjejaskan keserasian keseluruhan ruang.

Dari segi penyelenggaraan, saiz rumah yang sederhana memudahkan segala urusan membersih dan mengemas, sekali gus mengekalkan suasana teratur yang diingini.

Sumber rujukan dekorasi Jalina banyak datang daripada Instagram, Pinterest dan YouTube, namun inspirasi terbesar tetap daripada ibunya sendiri.

Sejak kecil, dia terdedah kepada minat dekorasi melalui ibu yang gemar menghias rumah dan pengaruh itu kekal kuat hingga kini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×